
GEELY LANCAR RADAR KING KONG EM-P – JARAK GERAK ELEKTRIK 100KM, HARGA BERMULA RM91K
Geely baru-baru ini melancarkan trak pikap terbaharu mereka, Radar King Kong EM-P di pasaran China dengan harga permulaan AS$19,400 (kira-kira RM91,000).
Menampilkan sistem pacuan empat roda dua motor yang menghasilkan kuasa sehingga 349hp, model ini menawarkan jarak pemanduan hibrid sehingga 1,068km dan keupayaan muatan maksimum 1,000 kg.
Menariknya, model ini akan dieksport ke pasaran antarabangsa dengan nama Riddara RD6 EM-P.
Radar, jenama yang ditubuhkan di bawah payung Geely Group pada tahun 2022, sebelum ini hanya mempunyai satu model iaitu RD6, sebuah pikap elektrik sepenuhnya.

Pada Disember 2024, Geely memperkenalkan semula model itu untuk pasaran China dengan nama Radar King Kong, sementara versi eksport dikenali sebagai Riddara RD6.
Dari segi rekaan, Radar King Kong EM-P mengekalkan rupa asas RD6 EV dengan lampu utama berbentuk blok dan kemasan berkilat yang menghubungkan kedua-duanya. Bampar depan pula direka ringkas dengan tiga saluran udara dua di sisi dan satu berbentuk trapezium di tengah.
Dari segi dimensi, model dengan jarak roda standard hadir dengan dimensi 5,260 x 1,900 x 1,865mm dan jarak roda 3,120mm, manakala varian jarak roda panjang pula berukuran 5,500mm dengan jarak roda 3,310mm.
Dibina menggunakan platform modular MAP yang berasal daripada arkitektur SEA, trak pikap ini menggunakan 70 peratus keluli kekuatan tinggi pada strukturnya.
Di dalam kabin, Radar King Kong EM-P menawarkan konfigurasi lima tempat duduk dengan skrin sentuh tengah bersaiz 14.6-inci dan panel instrumen digital 10.2-inci.

Jantung utama model ini ialah sistem plug-in hibrid yang menggabungkan enjin 1.5 liter turbo berkecekapan terma 44.26 peratus, transmisi 3DHT, dan dua motor elektrik.
Hasilnya, sistem ini mampu menghasilkan kuasa maksimum 260kW dan tork 914Nm. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam 6.3 saat, atau 8.6 saat dengan muatan penuh.
Sistem pacuan semua roda (4WD) ini juga memberikan tindak balas sepantas 20 milisaat serta menawarkan empat mod pemanduan lasak: salji, lumpur, off-road dan pasir.
Model ini mampu mendaki cerun 45 darjah dalam keadaan kosong, dan sehingga 33 darjah apabila dimuatkan sepenuhnya. Jejari pusingannya ialah 6.1 meter.
Penggunaan bahan apinya pula hanya 1.5 liter setiap 100km, dan meningkat kepada 6.4 L/100km apabila bateri habis.

Radar King Kong EM-P dilengkapi dengan bateri LFP 19.09kWh yang membolehkan jarak pemanduan elektrik sejauh 100km mengikut kitaran CLTC.
Dengan tangki minyak 60 liter, jarak keseluruhan dalam mod hibrid boleh mencecah 1,068km. Ia turut menyokong fungsi V2L (vehicle-to-load) sehingga 3.3kW dan boleh menjadi stesen pengecas mudah alih dengan keupayaan V2V (vehicle-to-vehicle) sehingga 21kW.
Untuk harga Radar King Kong EM-P, perincian adalah seperti berikut:
- Standard Bed 1000km – AS$19,400 (RM91,000)
- All-Round Long Bed – AS$20,800 (RM98,000)
- Intelligent Long Bed – AS$22,200 (RM104,000)
Dengan gabungan kuasa elektrik serta kepraktisan trak pikap, Radar King Kong EM-P menawarkan pakej menarik untuk pemandu yang mencari keupayaan dan kecekapan bahan api dan kini bersedia untuk menawan pasaran antarabangsa di bawah jenama Riddara.