Buletin

BERJALAN KAKI SEJAUH 4.8KM SETIAP HARI KE TEMPAT KERJA, REMAJA INI AKHIRNYA DIHADIAHKAN SEBUAH KERETA 

Kadang-kala, sesuatu yang kecil pada kita sebenarnya memberi makna sangat besar kepada orang lain. Kita yang sudah biasa menaiki kenderaan ke tempat kerja, tentunya tidak merasai kesusahan yang dialami oleh mereka yang terpaksa berjalan kaki. Begitu juga sebaliknya. 

Kisah ini berlaku di Texas, Amerika Syarikat . Ia boleh menjadi contoh kepada kita supaya sentiasa bersyukur dan membantu orang lain semampu mungkin.

Pada satu hari, Andy Mitchell ternampak seorang remaja berjalan kaki di bawah terik matahari mencecah 35 darjah selsius. Jadi, Mitchell menumpangnya ke tempat kerja.

Remaja itu ialah Justin Korva berjalan kaki pergi dan balik sejauh 4.8 kilometer dari rumah ke tempat kerjanya, sebuah restoran makanan segera Casa Taco setiap hari. Memandangkan bukan senang untuk mendapat kerja, Korva tidak kisah untuk berjalan kaki. Dia juga memang berharap dapat mengumpul duit dan membeli sebuah kereta satu hari nanti.

Kesungguhan anak muda berusia 20 tahun itu untuk bekerja membuatkan Mitchell merakam selfie dan menulis status di laman Facebook miliknya. “Kepada semua yang berkata mereka mahu bekerja tetapi tidak dapat kerja atau tidak ada kenderaan. Saya boleh katakan anda sebenarnya tidak bersungguh.”

Tanpa disedari, status itu mendapat perhatian ramai. Seorang pemilik restoran pizza, Samee Dowlatshahi meletak sebuah tabung derma di kedainya. Dalam masa hanya dua hari, dia berjaya mengumpul dana berjumlah AS$5,500 (RM23,600).

Kemudian, pengurus besar jualan Toyota Rockwall, Danny Rawls turut mahu membantu. Kebetulan dia mempunyai sebuah Toyota Camry tahun 2004 dan membelinya pada harga yang cukup murah. Baki wang tersebut digunakan untuk membeli insurans selama setahun dan kad petrol berjumlah AS$500 (RM2,150). Ketika kereta itu diserahkan, Korva berkali-kali berkata, “Anda serius?” Sambil mengesat air mata, dia memeluk semua orang yang sudi membantunya.

Alangkah bagusnya kalau semua orang berhati mulia macam ni…

Google ads
Back to top button