BuletinMotosikal

BERMULA DI P4! HARAPAN NEGARA KINI TERLETAK DI BAHU ADAM NORRODIN

Jika anda masih ingat, tahun lepas di litar Termas de Rio Hondo, Argentina ini, momen paling dramatik buat Adam Norrodin. Beliau berada dalam kelompok hadapan perlumbaan dan sepatutnya menamatkan podium di tempat ketiga.

Namun pelumba Petronas Sprinta Racing ini terjatuh pada lap terakhir dan bukan sebab kemalangan, tapi semangat beliau menyebabkan ramai orang terharu. Beliau menolak motornya ke garisan penamat dan berhasil mendapat tempat ke-11 dan perlumbaan itu juga membolehkannya mengutip mata pertama dalam Moto3.

Tahun ini, kebolehan beliau semakin terserlah dan jika dibandingkan dengan wakil negara yang bersaing pada perlumbaan Argentina Motorcycle Grand Prix kali ini, Adam Norrodin kelihatan mempunyai peluang cerah untuk ke podium.

BACA: BERMULA DI PETAK 23, PERMULAAN SUKAR BUAT HAFIZH SYAHRIN

Ya. mungkin kami terlalu optimis tetapi berdasarkan ujian masa pada Jumaat dan semalam, pelumba ini lebih pantas dari rakan pasukannya Ayumu Sasaki.

Dalam pusingan kelayakan petang tadi waktu Argentina, Adam berjaya mencatat kepantasan 1:54.346 sekaligus menempatkannya di petak keempat pada perlumbaan sebenar Moto3 yang akan berlangsung tengah malam nanti waktu Malaysia.

Sementara itu dua lagi wakil negara yang bersaing dalam kelas Moto2 iaitu Khairul Idham Pawi a.k.a SuperKIP dan Zulfahmi Khairuddin gagal mendapat posisi terbaik pada perlumbaan sebenar nanti.

Sejak dari hari Jumaat sewaktu sesi latihan bebas FP1, FP2 dan FP3 membawa ke pusingan kelayakan ujian masa, kedua-dua pelumba ini bergelut untuk mencatat masa terpantas.

Pada penghujung sesi kualifikasi semalam, SuperKIP mencatat masa terpantas 2:00.166. Pelumba dari Idemitsu Honda Team Asia itu hanya mengisi petak perlumbaan ke-27.

Satu lagi wakil negara dalam Moto2 ialah Zulfahmi Khairuddin yang menggalas cabaran pasukan SIC Racing Team. Beliau berada di dua petak terakhir di grid 31. Semasa ujian kelayakan masa semalam, Zulfahmi sekadar mencatat 2:01.770.

Secara realistiknya, harapan pada Moto2 agak tipis dengan kedudukan perlumbaan sekarang. 

Moto3 kelihatannya macam ada harapan nak dengar lagu Negaraku berkumandang!

 

 

Google ads
Back to top button