Motosikal

HONDA PCX125 2018 DIPERKENALKAN DI EROPAH – 1 TANGKI BOLEH JALAN 400km!

Sejak diperkenalkan pada tahun 2010, lebih 140,000 unit Honda PCX125 berjaya dijual di pasaran Eropah.

Pada ketika itu, ia menjadi motosikal pertama yang dilengkapi teknologi Idling Stop. Dua tahun kemudian, PCX menjadi skuter pertama di Eropah menggunakan enjin Smart Power (eSP) yang ultra jimat.

Pada tahun 2016, PCX memperoleh piawaian Euro4. Untuk kekal kompetitif, PCX125 2018 menerima penambahbaikan signifikan dari segi reka bentuk, chasis baharu dan enjin lebih berkuasa.  

Skuter itu menggunakan enjin eSP bersesaran 125cc berkuasa 12bhp dan tork 11.8Nm. Enjin kemudian dipadankan dengan kotak gear CVT V-Matic. Kuasa enjin dipertingkatkan dengan kotak udara yang kini 1L lebih besar berbanding model terdahulu.

Biarpun lebih berkuasa, enjin itu sebenarnya lebih jimat apabila mampu mencatat penggunaan bahan api 47.6km/liter. Jadi, setangki 8.0 liter boleh membawa anda sejauh 400km!

Model tahun 2018 ini tampil dengan rekaan garis kontur badan yang lebih elegan, dari arah hadapan hingga ke belakang. PCX125 dipasang dengan lampu utama LED dan lampu isyarat membelok baharu yang nipis.

Poket pada sebelah kiri membolehkan botol minuman diletak dengan mudah. Bukan itu sahaja, satu soket adaptor 12V AC turut disediakan di sana. Tempat duduk dan tangka minyak kini boleh dibuka dengan satu sentuhan butang sahaja. Manakala bahagian kunci dipasang dengan penutup sebagai satu ciri keselamatan tambahan.

Ruang kargo di bawah tempat duduk dipertingkatkan menjadi 28 liter yang boleh menempatkan satu topi keledar muka penuh dengan mudah.

Penunggang pasti berpuas hati dengan papan instrumentasi LCD yang memaparkan pelbagai maklumat penting. Antaranya termasukla pecutan, odometer, trip meter, takat bahan api dan indikator Idling Stop.

Kemantapan tunggangan PCX125 2018 dipertingkatkan oleh chasis jenis duplex cradle besi sepenuhnya. Fairing plastik yang dipasang dapat mengurangkan berat sebanyak 2.4kg berbanding model terdahulu.

Berat keseluruhannya kini cuma 130kg. Malah, rim lapan jejari bersaiz 14 inci yang digunakan juga lebih nipis dan ringan.  

Kuasa membrek diserahkan kepada brek cakera bersaiz 220mm dengan ABS satu saluran pada roda hadapan dan brek gelendong 130mm di belakang.  

Jentera itu didatangkan dalam empat pilihan warna iaitu putih, hitam, kelabu dan merah.

GALERI

Google ads
Back to top button