Buletin

BOS TESLA JUAL SAHAM BERNILAI RM20.8 BILION

Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk dilaporkan menjual sejumlah saham syarikatnya yang bernilai AS$5 bilion (RM20.8 bilion).

Terdahulu, Musk mengadakan tinjauan pendapat di laman Twitter mengenai sama ada perlu menjual sejumlah saham syarikat pengeluar kenderaan elektrik itu.

Hartawan itu menerusi ciapan memaklumkan akan menjual 10 peratus saham Tesla sekiranya mendapat undian terbanyak.

Tinjauan itu memperoleh undian sebanyak 3.5 juta.

Berdasarkan pemfailan kawal selia dilakukan semalam, Musk yang memiliki nilai kekayaan sekitar AS$300 bilion (RM1.25 trilion) telah menjual 4.5 juta saham pada minggu ini.

Menurut laporan itu, sejumlah saham bernilai AS$1.1 bilion (RM4.58 bilion) dijual pada Isnin lalu dalam usaha menyelesaikan bayaran cukai selepas Musk menggunakan opsyen saham.

Namun, penjualan itu dimulakan dibawah pelan perdagangan yang ditetapkan pada September lalu.

Tidak dapat dipastikan sama ada baki jualan saham yang dimaklumkan pada Selasa dan Rabu iaitu kira-kira 3.6 juta saham yang bernilai hampir AS$4 bilion (RM16.67 bilion) juga dirancang sebelum tinjauan pendapat di laman media sosial itu. – UTUSAN

Google ads
Back to top button