Buletin

ACURA INTEGRA PROTOTYPE MUNCUL!

Jenama mewah kepada Honda, Acura hari ini secara rasmi memperkenalkan model Integra Prototype yang mampu memberikan bayangan awal kepada model berprestasi tinggi Acura Integra 2023.

Walaupun direka di Jepun, namun model Integra 2023 merupakan model Integra yang pertama dipasang dan dibina di Amerika Syarikat, di mana fasa produksi massa akan bermula tahun depan di fasiliti Marysville Auto Plant, Ohio.

Bertepatan dengan apa yang dipertunjukkan sebelum ini, Acura Integra membawakan bentuk sedan liftback lima pintu yang mampu bertindak sebagai model aras mula kepada barisan kenderaan prestasi tinggi Acura.

Acura Integra menampilkan rekaan luaran yang dimulakan dengan unit lampu JewelEye LED, diikuti lampu nyalaan siang (DRL) LED berbentuk Chicane yang lebih dramatik.

Penampilan agresif Integra diteruskan dengan arka roda belakang yang lebih berisi, unit lampu yang tajam dengan grafik yang mengikuti tema muka depan, spoiler lid trunk yang kecil dan diakhiri dengan tip ekzos pada kiri dan kanan.

Disebalik rim kemasan matte bersaiz 19 inci pula adalah sistem brek berprestasi tinggi Brembo berwarna Indy Yellow.

Warna Indy Yellow yang dilayangkan pada badan Integra ini sebenarnya merupakan satu penghormatan buat warna Phoenix Yellow yang pernah ditawarkan pada model Integra Type R 2000-2001.

Warna kuning itu tadi diserikan dengan kemasan hitam berkilat pada bumbung, spoiler, cermin sisi, diffuser belakang dan juga jeriji hadapan.

Integra 2023 difahamkan akan menampilkan penggunaan enjin 1.5 liter turbo VTEC yang dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan dan limited slip differential (LSD).

Harga jualan anggaran bermula sekitar $30,000 (RM125,055) dan ia dijangka tiba di pasaran tahun depan.

Google ads
Back to top button