Buletin

BREK TANGAN BAKAL PUPUS PADA MASA DEPAN? APA NAK JADI?

Salah satu teknologi kenderaan yang semakin hari semakin kurang pengguna ialah transmisi manual. Agak mustahil untuk menemui transmisi manual ditawarkan pada jenama mewah.

Walaupun begitu syukurlah permintaan tetap wujud daripada pembeli kereta penumpang seperti di Amerika Syarikat dan jenama tempatan di negara kita.

Selepas transmisi manual, teknologi apa pula yang bakal menerima nasib sama?

Menurut kajian yang dilakukan laman web penjualan barangan automotif CarGurus, kelengkapan yang bakal pupus ialah brek tangan.

Habis nak digantikan dengan apa?

Gantikan dengan brek elektronik yang kini sudah banyak digunakan dalam kenderaan baharu. Contoh mudah ialah brek elektronik seperti yang terdapat pada Honda Civic atau HR-V.

Hasil daripada tinjauan laman web ini mendapati hanya 37 peratus kereta baharu yang dijual di United Kingdom sekarang dilengkapi dengan brek tangan manual.

Tinjauan juga mendapati hanya dua pengeluar massa iaitu Dacia dan Suzuki yang mempunyai brek tangan standard pada setiap varian model manakala majoriti pengeluar menawarkannya untuk model sporti atau kereta bandar mampu milik.

Kebanyakan pengeluar premium pula langsung tidak menggunakannya dan diganti dengan brek parkir elektronik manakala beberapa jenama dilengkapi brek parkir kaki.

Di antara jenama mewah yang kini tidak mempunyai brek tangan ialah Audi, Jaguar, Land Rover, Lexus, Mercedes dan Porsche.

Buat mereka yang tertanya bagaimana brek parkir elektronik ini berfungsi, jawapannya ialah butang brek parkir berhubung dengan sistem elektronik dan apabila pemandu menekannya sepasang motor akan mengaktifkan brek belakang dan menghalang kereta daripada bergerak.

Buat masa sekarang parkir brek elektronik adalah kelengkapan canggih dan mewah. Ia mudah digunakan dan menahan kereta dengan lebih selamat serta tidak perlu larasan seperti brek tangan biasa.

Selain menahan kereta, sistem brek ini turut menawarkan fungsi bantuan mula daki (automatic hill-hold assist) dan kedudukannya di dalam kereta lebih kemas dan tidak memakan ruang terutama sekali pada konsol tengah.

Google ads
Back to top button