
ZEEKR 001 2027 BAKAL DILENGKAPI SMART CHARGING GEELY, BOLEH DICAS PENUH DALAM 8 MINIT
Zeekr dilaporkan sedang menyediakan versi terbaharu sedan elektrik Zeekr 001 yang dijangka membawa peningkatan teknologi pengecasan pantas, termasuk kemungkinan penggunaan sistem pengecasan baharu Geely, di mana ia mampu mengisi bateri hampir penuh dalam tempoh kurang sembilan minit.
Model berkenaan dikesan menerusi dokumen permohonan produk terbaharu yang diterbitkan oleh Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China (MIIT).
Berdasarkan maklumat yang didedahkan, model 2027 itu masih mengekalkan identiti reka bentuk Zeekr 001 sedia ada, termasuk lampu belakang LED memanjang serta tulisan nama Zeekr pada bahagian belakang.
Dari segi dimensi, model baharu ini mempunyai panjang antara 4,977mm hingga 5,029mm, lebar 1,999mm dan tinggi antara 1,533mm hingga 1,545mm bergantung kepada konfigurasi suspensi. Jarak roda pula kekal pada 3,005mm, manakala berat kenderaan dicatatkan antara 2,350kg hingga 2,420kg.
Bagi sistem penggerak, Zeekr 001 2027 menggunakan satu motor elektrik yang dipasang pada gandar belakang dengan kuasa maksimum 370kW (496hp). Motor tersebut dibekalkan oleh Quzhou Jidian Electric Vehicle Technology Co. Ltd, sebuah syarikat di bawah Geely.

Berdasarkan dokumen MIIT, kelajuan maksimum model ini ditawarkan dalam dua pilihan iaitu 240km/j dan 280km/j.
Sistem penyimpanan tenaga pula menggunakan bateri jenis Lithium Iron Phosphate (LFP), dengan pembekalan sel serta pemasangan pek bateri dikendalikan oleh Geely.
Menariknya, model baharu ini berpotensi menerima teknologi pengecasan pantas terbaharu Geely yang dikenali sebagai Smart Charging.
Teknologi tersebut sebelum ini dilaporkan mampu mengecas bateri daripada hampir kosong kepada 97 peratus dalam masa hanya lapan minit 40 saat.
Bagaimanapun, keupayaan tersebut masih belum disahkan secara rasmi untuk Zeekr 001 generasi 2027.
Sebagai perbandingan, Zeekr 001 versi semasa ditawarkan dengan dua pilihan bateri. Pek bateri LFP keluaran Geely dikatakan mampu dicas daripada 10 kepada 80 peratus dalam tempoh tujuh minit, manakala bateri ternari litium (NCM) daripada CATL memerlukan sekitar 10 minit.
Kedua-dua konfigurasi menggunakan seni bina pengecasan 900V yang dijangka dikekalkan pada model terbaharu itu.
Selain perubahan pada sistem elektrifikasi, pembeli turut diberikan beberapa pilihan penyesuaian termasuk warna badan, reka bentuk spoiler belakang, cermin sisi serta komponen brek.
Model ini juga boleh dilengkapi pakej penunda dengan kapasiti maksimum sehingga 2,000kg.
Antara kelengkapan lain yang disenaraikan ialah Event Data Recorder (EDR) dan perkakasan Electronic Toll Collection (ETC) sebagai pilihan.
Zeekr dijadualkan melancarkan model 001 yang dikemas kini ini pada suku pertama 2027.



