Buletin

PADEL PUSHERS X APC JUARA VOLVO PADEL OPEN 2026, RAIH HADIAH RM61,200

Padel Pushers x APC muncul sebagai juara komuniti Volvo Padel Open 2026 selepas menewaskan pencabar lain dalam kejohanan edisi ketiga yang berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober lalu.

Kejayaan itu membolehkan pasukan berkenaan membawa pulang hadiah bernilai RM61,200 berserta trofi kejuaraan dalam pertandingan yang menghimpunkan lapan komuniti padel terkemuka negara.

Dianjurkan dengan pengiktirafan rasmi Selangor Padel Association, Volvo Padel Open 2026 turut mencatat penyertaan terbesar setakat ini, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara kejohanan padel terbesar di Malaysia.

Lapan komuniti yang mengambil bahagian ialah All’Bout Padel, Baby Buaya Posse, Jerung Padel Club, Kelab Padel Pop x ABBT, Padé x LGK, Padel Hood, Padel Pushers x APC dan Wolfpack Padel.

Berbeza daripada format pertandingan biasa, edisi kali ini memberi penekanan kepada persaingan secara berpasukan dengan setiap pemain membawa nama dan mewakili komuniti masing-masing.

Format berkenaan turut membuka peluang kepada pemain baharu untuk merasai pengalaman bertanding di peringkat lebih tinggi, selain memberi ruang kepada pemain berpengalaman menguji kemampuan masing-masing.

Sepanjang tiga hari penganjuran, kejohanan menyaksikan persaingan sengit di gelanggang dengan sokongan padu penyokong yang hadir membawa identiti dan warna kelab masing-masing.

Kemuncak acara berlangsung pada hari terakhir apabila pemain, keluarga serta penonton berkumpul menyaksikan perlawanan penentuan bagi merebut gelaran komuniti terbaik.

Penganjuran Volvo Padel Open 2026 turut mendapat kerjasama Invictus Blue, redONE dan Tactical Padel, selain sokongan Dox Digital, SKINTIFIC, NESCAFÉ GOLD, Padé Langkawi dan Directors Think Tank.

Lebih daripada sekadar pertandingan, kejohanan itu menjadi platform memperkukuh hubungan antara kelab, pemain dan peminat sukan padel yang semakin mendapat tempat di Malaysia.

Keputusan penuh serta kedudukan rasmi kejohanan boleh disemak menerusi laman web padel.volvocarmalaysia.com.

Google ads
Back to top button