
PROTON S70 RS 2027 TAMPIL SPORTY – ENJIN KEKAL I-GT 1.5 LITER TURBO, KABIN KEMASAN DUA TONA
PROTON memperkenalkan identiti baharu bagi sedan segmen C popularnya menerusi pengumuman nama rasmi 2027 PROTON S70 RS, yang bakal tampil dengan penampilan lebih sporty serta beberapa penambahbaikan pada bahagian luaran dan ruang kabin.
Nama RS membawa maksud Refined Sportiness, mencerminkan pendekatan baharu PROTON dalam memberikan karakter lebih berani kepada model berkenaan tanpa mengetepikan elemen keselesaan dan praktikaliti untuk kegunaan harian.
Menerusi tema Performance with Style, S70 RS 2027 menerima perubahan reka bentuk yang memberi penekanan kepada penampilan lebih dinamik, termasuk bahagian badan lebih menyerlah, perincian tajam serta penggunaan elemen kontras.
Pada bahagian hadapan, gril dan bampar direka semula dengan perincian lebih menonjol, selain kemasan aksen merah yang memberikan identiti tersendiri. Penampilan itu turut dilengkapkan dengan skirt sisi sporty, rim aloi 17-inci serta angkup brek berwarna merah.

Bahagian belakang pula menampilkan bampar yang diperbaharui, diffuser dan kemasan empat corong ekzos bagi memberikan imej lebih agresif.
Perubahan turut dibawa ke ruang kabin menerusi penggunaan kemasan dua tona dengan aksen merah. Konsol tengah jenis terapung serta pencahayaan ambien menjadi antara elemen yang menyumbang kepada suasana lebih moden dan sporty.
Dari segi teknologi, S70 RS dilengkapi kawalan Command Dial dan Automatic Column Shifter bagi memudahkan pengendalian beberapa fungsi utama kenderaan.
Bagi aspek prestasi, model ini masih menggunakan enjin 1.5 liter turbo i-GT yang dipadankan dengan transmisi automatik tujuh kelajuan Dual Clutch Transmission (DCT).

Gabungan tersebut membolehkan sedan berkenaan memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 7.5 saat, sekali gus meneruskan karakter prestasi yang menjadi antara kelebihan PROTON S70.
PROTON turut merancang untuk memperkenalkan S70 RS secara lebih terperinci menerusi satu pertunjukan fesyen pada 10 November 2026, jam 8 malam, dengan kerjasama seorang pereka fesyen tempatan.
Acara itu bakal menggabungkan elemen automotif dan fesyen kontemporari bagi mengetengahkan identiti baharu sedan berkenaan sebelum pelancaran rasminya.
SPESIFIKASI PROTON S70 RS 2027
- Enjin: 1.5 liter i-GT turbo
- Transmisi: Automatik tujuh kelajuan Dual Clutch Transmission (DCT)
- Pecutan 0-100 km/j: 7.5 saat
- Rim: Aloi 17-inci
- Reka bentuk luaran: Gril dan bampar baharu, skirt sisi sporty, diffuser belakang serta empat corong ekzos
- Perincian tambahan: Angkup brek merah dan aksen merah pada badan
- Ruang kabin: Kemasan dua tona dengan aksen merah
- Kelengkapan kabin: Konsol tengah terapung, pencahayaan ambien, Command Dial dan Automatic Column Shifter
PROTON S70 RS 2027 dijangka menjadi langkah seterusnya dalam usaha pengeluar nasional itu memperkukuh kedudukan model berkenaan sebagai sedan sporty untuk pasaran tempatan.
GALERI:











