Buletin

10 PERKARA PELIK TERMASUK HAIWAN YANG DIBAWA SEMASA PANDU UJI – CARGURUS UK

Tahukah anda apabila memilih dan memandu uji kereta keluarga elok dibawa sekali ahli keluarga bagi merasai pengalaman sebenar?

Hakikatnya apabila memilih kereta keluarga, ia bukan berkisar tentang pemandu sahaja kerana ahli keluarga turut akan menghabiskan masa yang lama dengan kereta tersebut.

Usah tersilap beli apabila berjalan jauh baru sedar yang ruang kaki penumpang sempit dan bahagian kargo pula begitu terhad untuk diisi bagasi.

Untuk memastikan pembelian sesebuah kereta sesuai ada yang pergi lebih jauh.

CarGurus yang merupakan sebuah platform jual beli, penyelidikan serta tip pembelian kenderaan terpakai, berita dan review automotif dalam talian membuat satu kajian tentang perkara ini dan dapatannya begitu menarik dan mengujakan.

Apakah maklumat pelik yang berjaya ditemui?

Seekor ular 12 kaki, tilam dan sepasang burung kakak tua adalah di antara makhluk bernyawa dan objek pelik yang dibawa untuk sesi pandu uji.

CarGurus membuat tinjauan ini di kalangan pengedar kereta terpakai di United Kingdom bagi mengetahui perkara pelik yang dibawa bakal pelanggan di dalam tempoh 12 bulan lalu.

Para pengedar mendedahkan ramai bakal pelanggan yang membawa haiwan peliharaan seperti ikan, kucing, anjing Great Dane (spesis besar) di dalam kerusi kanak-kanak, ular dan termasuk kuda untuk sesi pandu uji.

Lebih menghairankan apabila beberapa pengedar turut memaklumkan pelanggan yang membawa abu mayat ahli keluarga untuk sesi pandu uji.

Selain itu ada juga pelanggan yang bekerja sebagai pemuzik membawa alatan seperti double bass, cello, kit drim dan akordion bagi memastikan ia muat di dalam kenderaan yang diuji.

Ada seorang pelanggan pernah membawa selipar dengan alasan tidak boleh memandu tanpanya.

Chris Knapman, Editor CarGurus berkata, “Contoh seperti ini mungkin adalah yang ekstrem dibawa oleh pelanggan namun apa yang utama ialah kepentingan untuk memastikan pembelian tersebut sesuai dengan kegunaan.

“Walaupun tanpa keperluan begitu, kami tetap menggalakkan pelanggan untuk membawa barang keperluan seperti kerusi kanak-kanak, set golf atau apa sahaja yang biasa dibawa untuk pemanduan harian.”

Motif yang ingin disampaikan ialah biar tersalah semasa pandu uji dan jangan tersilap dan menyesal semasa memilikinya.

Berikut ialah sepuluh perkara teratas paling luar biasa pernah dibawa semasa pandu uji:

1. Telur bertuah

2. Kuda

3. Senapang

4. Ular peliharaan 12 kaki panjang

5. Akordion

6. Dua ekor burung kakak tua

7. Tilam

8. Abu mayat ahli keluarga

9. Selipar

10. Cota

Google ads
"
"
Back to top button