
BRIDGESTONE POTENZA ADRENALIN RE005 DILANCAR – PILIHAN SAIZ 15-20 INCI, HARGA MULA RM351
Bridgestone Malaysia memperkenalkan tayar prestasi terbaharunya, BRIDGESTONE POTENZA Adrenalin RE005 – dibangunkan khas untuk pemandu yang mahukan pengalaman pemanduan lebih sporty tanpa mengorbankan keselesaan harian.
Model generasi baharu dalam siri POTENZA Adrenalin itu direka untuk pelbagai jenis kenderaan termasuk sedan sporty, kereta prestasi tinggi serta kenderaan elektrik (EV), dengan fokus kepada pengendalian lebih tepat, cengkaman lebih baik dan kawalan lebih yakin dalam pelbagai keadaan jalan raya.
Menurut Bridgestone Malaysia, POTENZA Adrenalin RE005 dibangunkan berasaskan pengalaman jenama itu dalam dunia perlumbaan antarabangsa, sekali gus menjadikannya tayar yang menitikberatkan kestabilan ketika memecut, mengambil selekoh dan membrek.
Antara pembaharuan utama yang diperkenalkan ialah peningkatan cengkaman di permukaan kering sebanyak lapan peratus dan prestasi cengkaman di jalan basah sehingga 10 peratus berbanding model sebelumnya, POTENZA Adrenalin RE004.

Rekaan blok tayar lebih lebar membantu mengagihkan tekanan secara sekata bagi memberikan cengkaman optimum serta kawalan lebih tepat ketika memandu di laluan basah mahupun kering.
Selain itu, teknologi blok penyambung yang digunakan turut membantu meningkatkan kestabilan ketika mengambil selekoh tajam dan memberi keyakinan lebih tinggi sewaktu keluar dari selekoh.
Corak alur berbentuk “A” yang menjadi identiti siri Adrenalin pula membantu menghasilkan respon stereng yang lebih pantas dan tepat, sekali gus memberikan pengalaman pemanduan lebih agresif dan menyeronokkan.
Bagi aspek keselamatan, tayar ini dilengkapi teknologi Rain Pulse Groove yang direka untuk mempercepatkan aliran air dan mengurangkan risiko hydroplaning ketika hujan lebat.

Kompaun getah baharu yang digunakan juga dikatakan mampu meningkatkan daya cengkaman dalam pelbagai keadaan selain membantu mengurangkan rintangan gelinciran, sekali gus menyumbang kepada penggunaan bahan api lebih efisien dan jangka hayat tayar lebih panjang.
Pada masa sama, teknologi Multi-Round Block membantu memastikan tekanan sentuhan tayar lebih seimbang untuk mengekalkan prestasi konsisten sepanjang penggunaan.
BRIDGESTONE POTENZA Adrenalin RE005 kini ditawarkan di pusat pengedar sah Bridgestone terpilih di seluruh negara dengan pilihan saiz antara 15 hingga 20-inci.
Harga jualan disyorkan bermula dari RM351 hingga RM1,543 bergantung kepada saiz tayar.
GALERI:








