
SUBARU CROSSTREK 2026 DILANCARKAN – HARGA BERMULA RM190K
Subaru Malaysia akhirnya melancarkan generasi terbaharu Subaru Crosstrek 2026 untuk pasaran tempatan, dengan pendekatan yang lebih premium, lebih lasak dan lebih moden berbanding model terdahulu.
Crossover ini diposisikan sebagai model “urban-to-adventure”, sesuai untuk kegunaan harian di bandar tetapi masih mampu dibawa meredah laluan mencabar hujung minggu.
Dari segi penampilan, Crosstrek baharu tampil lebih garang dengan rekaan SUV yang lebih tegap, lampu LED tajam serta kemasan badan menonjolkan karakter lasak tipikal Subaru.
Di bahagian kabin, Subaru kini memberi fokus lebih serius terhadap elemen premium. Antara yang menjadi perhatian ialah paparan infotainmen sentuh 11.6-inci menegak yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, selain kawalan untuk sistem X-MODE.

Ruang dalaman turut dipadankan dengan balutan kulit hitam dan kelabu, pedal aluminium gaya sporty serta stereng balut kulit.
Subaru turut mendakwa tempat duduk hadapan dibangunkan berdasarkan kajian perubatan bagi memberikan sokongan pelvis lebih baik, sekali gus mengurangkan keletihan ketika perjalanan jauh atau di laluan tidak rata.
Dari sudut kuasa, Crosstrek baharu menggunakan enjin Boxer 2.0 liter suntikan terus yang menghasilkan 156PS dan 196Nm tork. Kuasa disalurkan menerusi transmisi Lineartronic CVT bersama mod manual lapan kelajuan dan paddle shifter.
Sistem pacuan semua roda Symmetrical AWD kekal menjadi tunjang utama model ini. Ia dipadankan dengan sistem Active Torque Split AWD yang mampu mengagihkan kuasa secara pintar mengikut tahap cengkaman permukaan jalan.

Untuk pemanduan off-road ringan, Crosstrek dilengkapi Dual-Function X-MODE dengan mod SNOW/DIRT dan D.SNOW/MUD. Tambahan pula, kelegaan tanah setinggi 220mm membolehkan crossover ini melalui laluan yang sukar dilalui SUV biasa.
Model ini juga dibina menggunakan Subaru Global Platform (SGP) versi dipertingkat, dengan struktur lebih kukuh dan penggunaan pelekat struktur lebih meluas bagi mengurangkan gegaran badan serta meningkatkan keselesaan kabin.
Dari aspek keselamatan, Crosstrek hadir dengan sistem EyeSight 4.0 generasi terkini yang kini menggunakan kamera sudut lebar tambahan untuk pengesanan lebih efektif terhadap pejalan kaki dan penunggang basikal.
Antara ciri bantuan pemandu yang ditawarkan termasuk;
- Adaptive Cruise Control
- Pre-Collision Braking
- Lane Centering Control
- Autonomous Emergency Steering
- Reverse Automatic Braking
Menariknya, model ini turut dilengkapi Emergency Driving Stop System yang boleh memberhentikan kenderaan secara automatik jika pemandu dikesan tidak memberi respons dalam tempoh tertentu.
Turut tersedia ialah sistem Multi-View Monitor 360 darjah, Driver Monitoring System dengan pengecaman wajah sehingga lima pengguna, Subaru Rear Vehicle Detection serta tujuh beg udara sebagai ciri standard.
Subaru Crosstrek 2026 ditawarkan dalam beberapa warna menarik termasuk Sand Dune Pearl dan Citron Yellow Pearl. Ia kini dipasarkan di Malaysia dengan harga RM190,788.
GALERI:






















