
INDRIVE ANJUR ‘PLATINUM DRIVER LEAGUE 2026’, TAWAR GANJARAN LEBIH RM100,000 KEPADA PEMANDU
Platform e-hailing inDrive Malaysia sekali lagi menganjurkan program penghargaan kepada rakan pemandunya menerusi Platinum Driver League 2026, dengan keseluruhan ganjaran melebihi RM100,000 ditawarkan sepanjang kempen berlangsung.
Inisiatif yang diperkenalkan selepas sambutan menggalakkan tahun lalu itu akan berjalan dari 27 April hingga 31 Mei 2026, melibatkan pemandu di Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang.
Sepanjang tempoh kempen, peserta berpeluang memenangi pelbagai hadiah mingguan termasuk telefon pintar, tablet, kamera papan pemuka (dashcam) serta baucar petrol.

Selain itu, dua hadiah utama turut menanti iaitu sebuah Perodua Bezza 1.3 Advance 2026 dan sebuah skuter Yamaha NVX.
Menurut syarikat, program ini diperkenalkan bagi membantu meringankan beban pemandu e-hailing yang kini berdepan tekanan kos sara hidup, termasuk peningkatan perbelanjaan bahan api dan kos penyelenggaraan kenderaan.
Pada masa sama, ia bertujuan memberi insentif tambahan untuk memastikan pemandu kekal aktif di platform.
Pengurusan inDrive Malaysia berkata, pemandu merupakan komponen utama dalam operasi syarikat yang membolehkan pergerakan harian masyarakat berjalan lancar.

Justeru, penghargaan berbentuk ganjaran ini dilihat sebagai cara untuk mengiktiraf usaha mereka di jalan raya sambil menyokong pendapatan yang lebih stabil.
Syarikat itu turut menegaskan komitmennya untuk mewujudkan ekosistem mobiliti yang lebih adil dan telus, seiring perkembangan ekonomi gig di negara ini.
Dalam perkembangan berkaitan, inDrive juga memperkenalkan struktur komisen serendah 1% untuk pemandu di Kuala Lumpur sehingga 31 Mei 2026, sebagai langkah meningkatkan pendapatan bersih pemandu dalam tempoh cabaran ekonomi semasa.
Maklumat lanjut mengenai Platinum Driver League 2026 boleh diperoleh melalui laman rasmi inDrive.


