Buletin

BUANG SAMPAH DARI KERETA, INDIVIDU DISAMAN RM932 DI BRUNEI

Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) Brunei mengeluarkan kompaun sebanyak B$300 (RM932) ke atas individu yang didapati membuang sampah dari kenderaan di kawasan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien, Temburong.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan JASTRe, individu berkenaan melakukan kesalahan melanggar Bab 12(1)(d) di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30.

Memetik laporan Media Permata, memandangkan semua kaunter pembayaran ditutup disebabkan keadaan situasi jangkitan Covid-19 yang berlaku pada masa ini, individu berkenaan diminta membuat pembayaran pada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Jika gagal menjelaskan kompaun, individu berkenaan boleh didakwa ke mahkamah. Jika sabit kesalahan, boleh didenda B$1,000 (RM3,100) bagi kesalahan pertama dan kesalahan seterusnya boleh didenda B$3,000 (RM9,323) serta penjara tidak melebihi tiga bulan.

JASTRe mengingatkan mana-mana individu, orang awam atau syarikat supaya sentiasa menjaga kebersihan dan mengamalkan sifat bertanggungjawab terhadap alam sekitar. – Utusan Malaysia 

Google ads
"
"
Back to top button