Motosikal

LETBE MECHA 200 BAKAL MASUK MALAYSIA?

Walaupun masih baharu, namun LETBE bingkas mencuri tumpuan dengan beberapa model baharu untuk pasaran global antaranya menerusi model LETBE Mecha. 

Untuk rekod, LETBE menawarkan Mecha dengan beberapa varian yang dibezakan dengan kapasiti 125cc, 150cc dan 200cc. 

Ketika lawatan ke kilang LETBE di Guangzhou, China baru-baru ini, pihak MForce Bike Holdings memaklumkan bahawa lawatan tersebut – selain mendalami tentang pembangunan motosikal LETBE – bertujuan untuk mengenal pasti model yang wajar diperkenalkan disini. 

Ini kerana pihak MForce sendiri mengakui bahawa reka bentuk Mecha adalah futuristik dan mungkin tidak seiring dengan selera pengguna di Malaysia. 

Namun begitu, tidak dinafikan Mecha menawarkan sesuatu yang berbeza dan lebih segar berbanding apa yang ada dalam pasaran tempatan ketika ini. Selain menawarkan reka bentuk bersegi yang unik, Mecha juga tampil dengan ciri luar biasa antaranya pencahayaan warna yang pelbagai pada bahagian panel badan. 

Bagaimanapun, spesifikasi lain masih lagi sama dengan skuter moden yang ada dalam pasaran antaranya traction control dan ABS dwi-saluran. 

Menurut MForce, sekiranya Mecha masuk ke Malaysia, skuter itu akan ditawarkan dengan enjin berkapasiti antara 160cc dan 200cc.

Google ads
Back to top button