Buletin

TEMPAHAN PROTON S70 LITE, PRIME DIBUKA – ANGGARAN HARGA BAWAH RM60K

PROTON mengumumkan pembukaan tempahan bagi dua varian baharu sedan segmen-C, iaitu S70 Lite dan S70 Prime bermula 7 September 2026.

Kedua-dua model tersebut dijangka ditawarkan pada harga bermula di bawah RM60,000, menjadikannya pilihan paling mampu milik dalam keluarga S70.

Sebagai perbandingan, barisan sedia ada Proton S70 ketika ini dijual pada harga antara RM73,800 hingga RM94,800 menerusi empat varian berbeza.

Perubahan terbesar pada S70 Lite dan Prime terletak pada trenkuasa yang menggunakan enjin i-GT 1.5 liter aspirasi semula jadi (NA) empat silinder bersama transmisi CVT.

Sementara itu, varian S70 sedia ada menggunakan enjin 1.5 liter turbo empat silinder yang menjana 181hp dan 290Nm, dipadankan dengan transmisi klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan.

Dari segi penampilan, S70 Lite dan Prime mengekalkan reka bentuk yang hampir sama dengan model turbo, namun tidak lagi dilengkapi lampu belakang penuh merentasi bahagian belakang. Kedua-duanya turut menerima lencana ‘i-GT’ pada pintu but.

Spesifikasi Proton S70 Lite & Prime

Enjin & Prestasi

  • Enjin i-GT 1.5 liter aspirasi semula jadi (NA) empat silinder
  • Transmisi CVT
  • Pacuan roda hadapan
  • Kuasa dijangka sekitar 120hp
  • Tork dijangka sekitar 150Nm
  • Tiga mod pemanduan

Ciri Keselesaan & Teknologi

  • Brek parkir elektronik (EPB)
  • Auto Brake Hold
  • Sistem menghidupkan enjin dari jauh
  • Android Auto tanpa wayar
  • Apple CarPlay tanpa wayar
  • Panel instrumen kemasan sentuhan lembut
  • Lima port USB
  • Kamera undur
  • Peringatan penumpang tempat duduk belakang
  • Kemasan tempat duduk kulit tiruan
  • Cermin tingkap kuasa dengan fungsi anti-kepit pada semua pintu

Ciri Keselamatan

  • Enam beg udara
  • Sensor parkir depan dan belakang
  • Pemantau titik buta (BSM)
  • Bantuan pertukaran lorong
  • Amaran lintasan trafik belakang
  • Amaran pembukaan pintu
  • Amaran perlanggaran belakang

PROTON turut mengesahkan pelanggan yang membuat tempahan dan pendaftaran bagi S70 Lite atau Prime sebelum 31 Disember 2026 layak menerima ganjaran eksklusif “early bird”, dengan maklumat lanjut akan diumumkan ketika pelancaran rasmi model tersebut.

Google ads
Back to top button