Artikel Pilihan

CALON-CALON KERETA PERISAI, BERPOTENSI UNTUK ATM

Buat masa ini, Angkatan Tentera Malaysia melalui cabang Tentera Darat Malaysia dikatakan sedang menilai potensi beberapa calon kereta perisai bagi menggantikan 400 kereta perisai pacuan 6 roda (6×6) yang sedang digunakan oleh ATM.

Buat masa ini, Tentera Darat Malaysia mengoperasikan Sibmas 6×6 buatan Belgium dan juga Condor 4×4 buatan Jerman. Bagi mengukuhkan lagi kekuatan ATM, kedua dua model kereta perisai ini akan digantikan dengan model baru yang lebih canggih.

ATM meletakkan syarat perolehan kereta perisai ini ialah ia mesti dipasang di Malaysia bagi mewujudkan pemindahan teknologi (technology transfer) dari syarikat pembekal kepada syarikat kerjasama tempatan. Antara calon-calon kereta perisai ini ialah:

1. Pindad Anoa Amphibious 6×6 – dibina di Indonesia dengan bantuan teknikal syarikat VAB ( Véhicule de l’avant blindé) yang berasal daripada Peranchis. Ia dikuasakan dengan enjin diesel 6 silinder yang menghasilkan 320 kuasa kuda, berupaya bergerak pada 80km/j serta jarak operasi 600km untuk operasi.

Ia boleh dioperasikan dengan 2 kru dan boleh memuatkan 10 penumpang dalam satu masa dan dilindungi oleh mesingan 7.62mm. Malah ia turut dilengkapi dengan sistem waterjet bagi membolehkannya bergerak dalam air dengan halaju 10km/j.

2. Otokar Arma 6×6 – dihasilkan oleh firma Otokar Turki dengan enjin yang lebih berkuasa iaitu 450 kuasa kuda, memiliki halaju 105km/j dan boleh beroperasi sehingga jarak 700km. Dalam satu masa ia memuatkan 2 kru serta 8 penumpang dengan sistem tekanan tayar yang boleh diubah mengikut keadaan permukaan bumi

Persenjataannya boleh menampung sistem tembakan automatik 20mm, meriam 90mm atau dipasang dengan turet tertutup 105mm meriam. Ia boleh meredah air pada kedalaman 1500mm dan berenang dengan halaju melebihi 9km/j.

3. FNSS Pars AV6 6×6 – juga dihasilkan oleh firma Turki FNSS dilengkapi dengan 2 meriam iaitu 20mm meriam automatik dan meriam tambahan 7.62 mm. Dengan enjin berkuasa sehingga 500 kuasa kuda, ia boleh bergerak pada halaju 100km/j bagi jarak operasi sehingga 1000km.

Tangki bahan api disimpan dalam kerangka utama AV6 ini yang dilindungi perisai termasuklah perlindungan periuk api kepada 9 anggota tentera. FNSS memiliki kelebihan dalam penawaran kepada ATM disebabkan kejayaan mereka menawarkan AV8 Gempita kepada ATM dahulu

4. Pandur 6×6 Neo -dihasilkan oleh firma SSF Austria sebelum diambil alih oleh General Dynamic European Land System. Bahagian depan kereta perisai ini berupaya menahan tembakan dari mesingan 12.7mm manakala bahagian lain dilindungi oleh perisai bagi peluru 7.62mm.

Pandur dikuasakan oleh enjin turbodiesel 6 silinder yang berupaya menghasilkan 260 kuasa kuda dengan halaju tertinggi sehingga 100km/j. Jarak operasi Pandur ialah 700km serta memuatkan senjata mesingan 12.7mm.

5. Tigon 6×6 – Dibangunkan oleh firma pertahanan dari Korea Selatan iaitu Hanwha Defense dengan memberi tumpuan kepada perisai yang memberi perlindungan kepada 11 anggota tentera daripada tembakan, IED dan juga periuk api.

Sistem persenjataan pula boleh dipilih samaada memuatkan mesingan 7.62mm, sistem tembakan kawalan jauh 12.7mm atau 30mm mahupun meriam 90mm. Sama seperti pesaingnya yang lain Tigon boleh bergerak pada halaju maksimum 100km/j dengan julat operasi 1000km. Sistem waterjet membolehkan Tigon bergerak pada halaju 8km/j di dalam air.

6. Patria 6×6 – dihasilkan oleh firma pertahanan Finland iaitu Patria dan banyak digunakan oleh anggota NATO termasuklah Portugal, Croatia, Finland, Poland dan juga UAE. Antara kelebihan model ini ialah ia berupaya memuatkan 2 kru dan sehingga 8 penumpang. Enjin Scania yang dibekalkan berupaya menghasilkan sehingga 395 kuasa kuda

7. Iveco Mr Guarani 6×6- dihasilkan oleh firma Iveco berkuasa enjin diesel 383 kuasa kuda, dipandu oleh 2 kru serta memuatkan sehingga 9 penumpang. Senjata utama yang boleh dimuatkan ialah Bushmaster Autocannon 30mm serta mesingan 7.62mm. Jarak operasi kereta perisai ini ialah 600km dengan halaju tertinggi 100km/j

8. Hyundai Rotem K806 6×6 – dihasilkan oleh Hyundai dengan perlindungan perisai sehingga 14.5mm yang berupaya menahan tembakan meriam 30mm. Manakala bahagian tepi pula boleh menerima asakan senjata 7.62mm tanpa masalah

Persenjataan utama ialah pelancar grenad dan juga mesingan 7.62mm. Enjin turbodiesel yang dibekalkan oleh Hyundai berupaya menjana sehingga 420 kuasa kuda dengan jarak operasi 700km

Diharapkan dengan perolehan baru kereta perisai ini akan memodenkan aset-aset kepunyaan angkatan tentera Malaysia di masa hadapan serta boleh berkhidmat dalam jangka masa yang panjang.

Google ads
Back to top button