CEO HONDA – JIKA PEMINAT MAHU, KAMI BOLEH BINA S2000 DALAM MASA DUA TAHUN SAHAJA
Sewaktu lawatan ke Tokyo Motorshow bersama Honda Malaysia minggu lalu, kami dibawa ke Ibu Pejabat Honda yang terletak di Aoyama Bulding, Tokyo. Di sini, pihak media diberi peluang bertanya terus kepada pimpinan tertinggi Honda apa juga soalan berkaitan industri. Sesi ini dihadiri CEO Honda Akahiro Hachigo dan juga Shinji Aoyama, CEO Honda Asia.
Pihak media banyak bertanya soalan berkenaan perniagaan dan seperti yang dimaklumkan Honda sebelum itu, mereka kini sedang fokus untuk hasilkan kereta “hijau” dengan lebih serius. Jelas, Honda sudah meletakkan sasaran 2/3 kereta mereka akan dikuasakan oleh enjin hybrid/EV menjelang tahun 2030.
Jadi bagaimana dengan 1/3 lagi? adakah ini berita buruk?
Ya dan tidak. Ia mungkin berita buruk bagi peminat Honda amnya. Semua sedar bahawa masa hadapan industri automotif sudah berubah sejak pengenalan undang-undang alam sekitar yang sangat ketat.
Dari tahun ke tahun, penarafan piawaian seperti yang ditetapkan spesifikasi Euro adalah contoh yang telah membunuh kereta-kereta JDM. Sukar untuk membuat kereta laju yang bersih, kecuali hasilnya enjin yang mahal seperti NSX.
Namun harapan masih ada kerana dalam sesi soal-jawab ini, pihak media turut bertanya tentang DNA Honda – tak lain tak bukan, kereta-kereta sports yang pernah mereka bina sebelum ini.
Sama seperti Nissan, Toyota dan Mitsubishi yang pernah menghasilkan Silvia, Supra dan Evolution, Honda sebenarnya lebih banyak menghasilkan kereta sports yang lebih mampu milik seperti CRX, Integra dan Prelude.
Kereta terakhir yang dikeluarkan Honda ialah S2000 yang ditamatkan pengeluarannya pada 2009.
Selepas itu, Honda hanya ada Type R dari Honda Swindon, UK iaitu FN2R dan FK2R. Kemudian senyap.
Menurut Takahiro Hachigo sebenarnya mereka telah mengkelaskan semula kereta sports mereka kepada versi moden.
“Di Jepun, kami bina S660, sebuah roadster kecil yang masih mengekalkan ciri sporty kereta Honda. Kemudian kami ada Civic Type-R dan akhir sekali kami ada NSX. Secara asasnya, Honda ada tiga model sports dalam pasaran”
“Bagaimana dengan kereta yang lebih murah tuan? Maksud saya, kereta-kereta macam Prelude, CRX dan Integra. Kereta-kereta N/A yang laju. Sebab Civic Type R dah jadi kereta sports mewah, NSX dah level sultan, S660 hanya untuk Jepun,” tanya seorang jejaka kacak Ya Rabbi iaitu Abang Japar lah siapa lagi.
“Begini, kami sedar tentang perminataan ni, cuma dari sudut perniagaan, data yang kami ada belum cukup untuk menjustifikasikan produksi. Kami perlukan “suara” yang lebih kuat untuk membolehkan kereta-kereta seperti S2000 dibuat. Jangan bimbang, Honda juga ada kemampuan untuk hasilkan kereta begini dalam tempoh yang cepat. Kami boleh buat dalam masa satu hingga dua tahun,” Jawab Hachigo San.
Jadi Itulah kesimpulannya. Bila Abang Japar dengar sendiri dari mulut orang paling tinggi dalam hierarki Honda, maka yakinlah bahawa Honda sebenarnya belum hilang arah. Abang Japar yakin, mereka akan kebalikan semula zaman EG, EK dan S2000.