" "
Buletin

CHARLES FRUMP DILANTIK PENGARAH URUSAN BAHARU VOLVO CAR MALAYSIA

Volvo Car Malaysia mengumumkan pelantikan Charles Frump sebagai Pengarah Urusan baharu menggantikan Nalin Jain, yang sebelum ini memegang jawatan Pengarah Urusan dari tahun 2019 hingga 2020. Frump akan meneruskan tanggungjawab Jain dalam mengawal selia keseluruhan operasi syarikat dan memacu visi elektrifikasi Volvo di Malaysia.

Frump menyertai Volvo Car Malaysia dari Volvo Auto India dan berkhidmat sebagai Pengarah Urusan sejak tahun 2017. Beliau memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan pasaran dan pendapatan Volvo dalam segmen kereta mewah yang kompetitif di India.

Hubungan Frump dengan Volvo Cars bermula pada tahun 2009 apabila menjawat jawatan Pengarah Pemasaran di Volvo Car Japan. Berbekalkan pengalaman selama lebih 20 tahun dalam dunia automotif di pasaran berbeza di seluruh Asia, Amerika Syarikat dan Eropah, Frump turut terlibat di peringkat global, serantau, dan tempatan dalam bidang pemasaran, jualan, perkhidmatan pelanggan dan pengurusan rangkaian.

Pelantikan Frump adalah susulan pengumuman global Volvo untuk menjadi syarikat kereta elektrik sepenuhnya menjelang tahun 2030. Baru-baru ini, Volvo Cars melancarkan kempen ‘Ultimate Safety Test’ untuk mengisytiharkan perubahan iklim sebagai cabaran keselamatan terbesar yang dihadapi oleh manusia hari ini. 

Dalam dunia di mana penumpang tempat duduk belakang hari ini ialah pemandu pada masa depan, Volvo berusaha untuk mewujudkan planet yang lebih selamat dan lestari dengan masa depan yang serba elektrik.

Sebagai manifestasi komitmen terhadap kelestarian dan elektrifikasi di Malaysia, Volvo Car Malaysia telah mengelektrifikasi kenderaan mereka sepenuhnya pada Februari dengan pelancaran XC40 PHEV. Volvo menjadi jenama automotif pertama di Malaysia yang mempunyai barisan PHEV lengkap untuk semua modelnya. 

Frump memiliki ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dalam Pemasaran Antarabangsa dari UCLA Anderson School of Management, Los Angeles, Amerika Syarikat. Beliau menamatkan pengajian sarjana muda dalam bidang ekonomi dan matematik dari St. Olaf College, Minnesota, Amerika Syarikat.

Google ads
Back to top button