
PROGRAM SELAMAT VOLVO DEDAH REALITI KEMALANGAN JALAN RAYA
Kempen keselamatan jalan raya terus diberi perhatian apabila Volvo Car Malaysia menganjurkan program Selamat Driving Experience di Pusat Pengalaman Memandu baharu di Sepang International Circuit pada hujung minggu lalu.
Program selama dua hari itu menghimpunkan lebih 240 peserta dengan fokus untuk meningkatkan kesedaran tentang budaya pemanduan selamat, tindakan kecemasan ketika berada di jalan raya serta kepentingan memahami ciri keselamatan moden pada kenderaan.
Sebaik tiba di lokasi, peserta disambut dengan paparan sebuah Volvo XC90 yang rosak teruk akibat kemalangan.
Bahagian sisi kenderaan dibuka bagi memperlihatkan fungsi beg udara dan struktur sangkar keselamatan keluli boron yang masih mampu melindungi ruang penumpang walaupun mengalami hentaman kuat.

Pameran itu menjadi simbol jelas tentang risiko sebenar yang dihadapi pengguna jalan raya setiap hari.
Peserta turut mencuba Selamat Calculator, platform digital interaktif yang dibangunkan bersama Mr Money TV. Melalui sistem tersebut, pengguna bukan sahaja boleh mengetahui tahap risiko keselamatan diri, malah didedahkan kepada kemungkinan kesan kewangan dan emosi yang bakal ditanggung keluarga sekiranya berlaku kemalangan maut.
Pengarah Jualan dan Pemasaran Volvo Car Malaysia, Patricia Yaw, berkata program berkenaan diharap mampu memberi perspektif baharu kepada peserta tentang nilai sebenar keselamatan ketika memandu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Mr Money TV, Peter Yong, menegaskan bahawa pengurusan kewangan bukan hanya berkaitan wang semata-mata, tetapi turut melibatkan penghargaan terhadap nyawa dan kesejahteraan keluarga.

Dalam sesi latihan di litar, tenaga pengajar profesional membawa peserta merasai sendiri simulasi situasi kecemasan dalam keadaan terkawal. Mereka didedahkan kepada teknik asas pengendalian kenderaan ketika hilang kawalan, membrek kecemasan dan mengelak halangan secara tiba-tiba.
Antara cabaran utama ialah ujian kick plate yang mensimulasikan keadaan kenderaan hilang cengkaman ketika memandu. Ujian itu membolehkan peserta memahami bagaimana sistem kawalan kestabilan moden Volvo membantu mengawal semula kenderaan ketika situasi kritikal.
Sebagai perbandingan, tenaga pengajar turut memandu model klasik Volvo 240 SE tanpa sistem ABS bagi menunjukkan perbezaan ketara teknologi keselamatan antara kenderaan lama dan moden.
Selain aktiviti di litar, peserta turut diberi peluang menelusuri sejarah inovasi keselamatan Volvo, termasuk penciptaan tali pinggang keledar tiga titik yang kini menjadi standard industri automotif global.

Penaja tayar rasmi, Pirelli, turut mengadakan sesi perkongsian berkaitan aspek keselamatan tayar serta memperkenalkan teknologi tayar ELECT™ yang direka khas untuk kenderaan elektrik.
Teknologi itu memberi penekanan terhadap pengurangan bunyi, kawalan tork lebih baik dan peningkatan kecekapan tenaga.
Antara model elektrifikasi Volvo yang menggunakan tayar tersebut termasuk Volvo EC40, Volvo XC60 dan Volvo ES90.
Orang ramai yang ingin mengetahui tahap risiko keselamatan diri boleh mengakses Selamat Calculator secara dalam talian menerusi Volvo Car Malaysia.
- BACA: BYD MENANG KES FITNAH, BLOGGER DIARAH BAYAR RM1.3 JUTA
- BACA: PUBG MOBILE JALIN KOLABORASI DENGAN FORD, BAWA MASUK FORD MUSTANG DAN RAPTOR R
- BACA: SKILLDRVN OMR 2026 BUKA MUSIM PENUH DRAMA – IMRAN UNGGUL, YIN YI CURI TUMPUAN
- BACA: CHERY RASMI BILIK PAMERAN BUTIK GEN-4 PERTAMA DI PAVILION BUKIT JALIL









