
MG MOTOR MALAYSIA PACU PERTUMBUHAN KUKUH, JUALAN MELONJAK AWAL 2026
MG Motor Malaysia meraikan ulang tahun kedua operasinya di negara ini dengan momentum kukuh, didorong prestasi positif suku pertama 2026 serta pelan pengembangan yang semakin agresif.
Sambutan bertemakan Passion To Drive yang berlangsung di Bamboo Hills menjadi pentas untuk jenama itu menonjolkan kemajuan produk, penglibatan pelanggan dan hala tuju masa depan dalam pasaran automotif tempatan.
Sepanjang tiga bulan pertama tahun ini, syarikat itu menunjukkan perkembangan memberangsangkan merentasi pelbagai aspek.
Antara pencapaian utama ialah pengiktirafan model elektrik MG Cyberster yang dinobatkan sebagai ‘Performance Car of the Year’ oleh Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute.

Dari sudut pembangunan rangkaian, awal tahun dimanfaatkan dengan penganjuran persidangan pengedar serta aktiviti sempena Tahun Baharu Cina, yang mengukuhkan kerjasama antara pengedar di seluruh negara dengan fokus terhadap pertumbuhan dan pengalaman pelanggan.
Langkah penting turut dicapai pada Mac menerusi pelancaran model MGS5 EV versi pemasangan tempatan (CKD) di fasiliti EP Manufacturing Berhad di Melaka.
Ia menandakan permulaan era baharu bagi usaha lokalisasi MG, selain mengukuhkan komitmen terhadap pembangunan industri EV tempatan.
Ditawarkan pada harga RM116,900, model tersebut menjadi antara fokus utama jenama dalam memperluas akses kepada mobiliti elektrik mampu milik.

Ia kini boleh dilihat dan diuji pandu di semua bilik pameran MG di seluruh negara, lengkap dengan tawaran promosi pelancaran menarik.
Bagi mendekati pengguna, MG turut giat menganjurkan pelbagai kempen termasuk program pandu uji Experience British Driving Dynamics, selain siri pameran jelajah di lokasi tumpuan seperti Desa ParkCity, The Curve dan IOI City Mall.
Di peringkat global pula, perkembangan teknologi MG terus diperkasakan menerusi pameran inovasi di Frankfurt, termasuk pengenalan sistem hibrid baharu MG Hybrid+ serta teknologi bateri separa keadaan pepejal.
Prestasi jualan turut mencerminkan momentum positif, dengan peningkatan 57 peratus berbanding suku sebelumnya dan 39 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus memperlihatkan keyakinan pengguna yang semakin meningkat terhadap jenama itu.
Menurut Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia, Emory Qi, pencapaian tersebut menjadi asas kukuh untuk pertumbuhan seterusnya.
“Suku pertama ini memberi permulaan yang sangat positif kepada kami, khususnya dengan pengiktirafan produk serta pelancaran model pemasangan tempatan. Ia mencerminkan kekuatan penawaran kami serta komitmen jangka panjang terhadap pasaran Malaysia,” katanya.
Mengorak langkah ke hadapan, MG bakal menyertai Kuala Lumpur International Mobility Show, dengan menampilkan inovasi terkini serta hala tuju masa depan jenama itu.
Turut dijangka hadir ialah Jozef Kaban yang akan berkongsi perspektif mengenai evolusi reka bentuk global MG.
Selain itu, MG Motor Malaysia merancang menambah pusat 3S baharu di Kuantan dan Rawang, selain memperluas kemudahan badan dan cat di seluruh negara bagi meningkatkan pengalaman pemilikan pelanggan.
Dengan asas yang semakin kukuh serta strategi pengembangan yang jelas, MG Motor Malaysia dilihat berada pada landasan tepat untuk terus memperkukuh kedudukannya dalam landskap automotif negara, khususnya dalam segmen kenderaan elektrik.






