Buletin

MERCEDES, HONDA DAN RENAULT AKAN KELUAR F1 DALAM MASA 2 TAHUN LAGI

Perlumbaan Formula 1 kini berada dalam dilema kesan penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia. Keputusan mengenai masa depan sukan bermotor itu perlu dibuat segera. 

Ia mungkin menyebabkan  pengeluar utama mengambil keputusan untuk keluar daripada saingan sukan penuh prestij tersebut. 

Menurut pengasas dan pemilik Jordan Grand Prix yang juga penganalisis liputan F1 untuk BBC, Eddie Jordan, F1 akan menjadi sukan yang lebih tertumpu kepada atlet serta hiburan.

Bukan lagi tentang pasukan dan jentera lumba. Maka, tidak hairan jika Jordan meramalkan nama-nama besar akan keluar daripada sukan itu kerana ia tidak lagi menguntungkan. 

“Saya yakin bahawa Mercedes, Honda dan mungkin Renault akan keluar daripada F1 dalam tempoh dua tahun lagi. Terutama Mercedes kerana mereka telah capai apa yang mereka mahukan menerusi enam kejuaraan dunia. Jadi, berdasarkan kepada situasi terkini, mereka tidak akan terus berlumba kerana sudah tiada apa lagi yang hendak mereka buktikan. 

“Saya rasa mereka akan menjual pasukan kepada Lawrence Stroll yang mahu menjadikan anaknya dan jenama Aston Martin sebagai juara,” kata Jordan kepada F1-insider.com 

Satu lagi sebab kenapa pasukan-pasukan itu mahu berbuat demikian adalah kerana kesedaran mengenai alam sekitar. Dunia bukan sahaja berubah secara ekstrem kerana COVID-19, malah nilai yang dipegang oleh orang ramai juga telah bertukar. 

“Kesedaran terhadap alam sekitar kini cukup tinggi. Maka, syarikat-syarikat ini perlu berfikir semula,” jelasnya. 

Jordan bagaimanapun merasakan Ferrari tidak akan meninggalkan F1 kerana mereka memiliki pemikiran berbeza berbanding pengeluar lain. “Ferrari mempunyai DNA dalam F1 dan meninggalkan F1 bukanlah satu pilihan.

Justeru, masa depan F1 hanya akan ada Ferrari, Red Bull Racing dan mungkin McLaren-Mercedes sebagai tunjangnya,” kata Jordan. 

Google ads
Back to top button