
KERETA IKONIK PAUL WALKER HADIR DALAM VERSI LEGO, PEMINAT FAST & FURIOUS WAJIB MILIKI LEGO SUPRA INI!
Model kereta ikonik Toyota Supra berwarna oren yang dipandu mendiang Paul Walker dalam filem The Fast and the Furious kini diabadikan dalam bentuk set Lego bersaiz kompak untuk peminat automotif dan koleksi filem popular itu.
Set berkenaan mengandungi 292 kepingan dan turut disertakan figura mini Brian O’Conner, watak yang dilakonkan Paul Walker dalam francais filem tersebut.


Bahagian belakang model itu juga menampilkan panel lut sinar yang memperlihatkan dua botol NOS berwarna oren dan biru, sama seperti kereta sebenar dalam filem.
Walaupun dilihat agak lewat diperkenalkan memandangkan filem asal sudah berusia lebih dua dekad, model ini dijangka tetap mendapat sambutan, khususnya daripada peminat tegar Fast & Furious.
Bagi pengumpul yang mahukan versi lebih terperinci, Lego turut menawarkan model LEGO Technic Fast & Furious Toyota Supra yang hadir dengan 810 kepingan binaan.


Versi Technic itu menampilkan lebih banyak ciri interaktif termasuk bonet boleh dibuka yang memperlihatkan replika enjin 2JZ enam silinder sebaris milik Supra, selain pintu dan ruang belakang boleh dibuka bersama sistem NOS di bahagian but.
Model tersebut turut dilengkapi kawalan stereng menerusi tombol khas pada bahagian bumbung, menjadikannya lebih menarik untuk dipamerkan atau dimainkan peminat Lego dan dunia automotif.





