Buletin

XIAOMI UJI SUV EREV BAHARU – JARAK GERAK LEBIH 400KM, LANCAR TAK LAMA LAGI

Xiaomi dilihat semakin hampir memperkenalkan SUV EREV pertamanya apabila model dikenali sebagai Kunlun dikesan menjalani ujian jalan raya di China dengan balutan penyamaran.

Kehadiran model itu turut mencetus spekulasi bahawa ia mungkin dipasarkan sebagai Xiaomi YU9 apabila dilancarkan kelak.

SUV bersaiz penuh dengan konfigurasi tujuh tempat duduk itu dijangka memasuki pasaran domestik China tahun ini, sekali gus menjadi model pertama Xiaomi yang menggunakan sistem Extended-Range Electric Vehicle (EREV).

Sebelum ini, model berkenaan pernah beberapa kali kelihatan diuji, namun masih menggunakan penyamaran tebal yang menyukarkan reka bentuk sebenar dilihat dengan jelas.

Menerusi imej terbaharu yang tersebar di media sosial China, Xiaomi Kunlun menampilkan rekaan depan tertutup bersama lampu utama berbentuk berkotak, selain kemasan pengambilan udara trapezoid di bahagian bampar.

SUV itu turut dilengkapi liang udara di sisi bampar, bonet hadapan yang tinggi serta sensor LiDAR di bumbung untuk fungsi bantuan pemanduan.

Selain itu, model berkenaan menggunakan pemijak sisi elektrik, pemegang pintu separa tersembunyi dan rim multi-spoke bersaiz besar.

Rekaan lampu utamanya juga mengekalkan identiti khas Xiaomi dengan elemen memanjang di tengah. Dari sisi, SUV itu memiliki arca badan berotot dengan lengkungan roda lebar serta garis bumbung sedikit melandai.

Walaupun dimensi rasmi belum didedahkan, panjang keseluruhan SUV itu dianggarkan sekitar 5.2 meter, sekali gus meletakkannya dalam kategori SUV mewah bersaiz penuh.

Menariknya, Xiaomi Kunlun turut dilihat diuji bersama Li Auto L9, model yang dianggap pencetus populariti segmen SUV EREV premium di China sejak 2022.

Kehadiran L9 dalam sesi ujian itu memberi bayangan bahawa Xiaomi menjadikan model berkenaan sebagai penanda aras utama dalam pembangunan SUV baharunya.

Dari sudut teknikal, Kunlun dikatakan bakal menggunakan bateri melebihi 70kWh dengan jarak pemanduan elektrik tulen dijangka melepasi 400 kilometer.

Jika benar, angka itu bakal menjadikan SUV ini antara EREV dengan kapasiti bateri terbesar di pasaran.

Ketika ini, Xiaomi Auto sudah mempunyai tiga model dalam barisan produknya iaitu sedan SU7, SU7 Ultra dan crossover elektrik YU7.

Prestasi jualan jenama itu juga terus meningkat apabila penghantaran kenderaan bagi tempoh Januari hingga April 2026 dilaporkan melepasi 110,000 unit.

Dalam tempoh suku pertama tahun ini sahaja, model YU7 mencatat penghantaran lebih 71,000 unit, menjadikannya antara EV paling laris di China di belakang beberapa model popular lain termasuk Tesla Model Y.

Google ads
Back to top button