
LEPAS METERAI 20 RAKAN NIAGA MALAYSIA, PERKUKUH RANGKAIAN GLOBAL
Jenama mobiliti baharu, LEPAS, mempercepatkan peluasan rangkaian globalnya apabila memeterai perjanjian pengedaran strategik bersama 20 rakan industri dari Malaysia dalam satu sidang perniagaan antarabangsa yang berlangsung di Wuhu, China, baru-baru ini.
Langkah tersebut dilihat sebagai titik penting dalam usaha LEPAS membina saluran pengedaran global, di samping menzahirkan komitmen serius terhadap pasaran Malaysia yang semakin rancak beralih ke arah mobiliti kenderaan tenaga baharu (NEV).
Kesemua rakan kongsi yang terlibat dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan LEPAS dalam segmen premium NEV, sejajar dengan perubahan landskap automotif tempatan.
Mengangkat konsep gaya hidup mobiliti elegan sebagai teras, LEPAS membina identitinya berasaskan tiga elemen utama iaitu reka bentuk berinspirasikan “Leopard Aesthetics”, teknologi canggih serta ruang kabin yang menitikberatkan keselesaan premium.

Menurut Pengarah Kanan Jenama LEPAS, Sarah Choo, pendekatan bersepadu antara jenama dan rakan niaga akan menjadi asas kepada pembentukan rangkaian yang seragam serta pengalaman pelanggan yang lebih menyeluruh.
Beliau berkata, LEPAS berhasrat memastikan setiap aspek perjalanan pelanggan, daripada pengalaman produk, proses jualan, penghantaran sehingga perkhidmatan selepas jualan.
Dari segi produk, LEPAS merancang untuk memperkenalkan barisan model utiliti sukan (SUV) termasuk L4, L6 dan L8 yang dibangunkan berasaskan platform global NEV terbaharu milik Chery Group.
Platform tersebut direka bagi menyokong pelbagai pilihan trenkuasa, merangkumi enjin pembakaran dalaman, hibrid serta elektrik sepenuhnya, sekali gus memberi fleksibiliti dalam memenuhi keperluan pasaran berbeza.
Sokongan daripada keupayaan penyelidikan, kejuruteraan dan rantaian bekalan bertaraf dunia Chery turut menjadi tulang belakang kepada pengembangan LEPAS di peringkat antarabangsa.
Melangkah ke hadapan, LEPAS akan terus memperluas rangkaian operasinya di seluruh negara dengan kerjasama rakan tempatan, sambil membina ekosistem mobiliti NEV yang lebih komprehensif dan berorientasikan gaya hidup moden di Malaysia.







