
RASMI: PEUGEOT MOTOCYCLES LANCAR EMPAT MODEL BAHARU – DARI RM9,990 HINGGA RM43,990
Peugeot Motocycles dengan rasminya debut di Malaysia menerusi Aveta International yang menyaksikan empat model baharu diperkenalkan untuk pasaran tempatan.
Empat model tersebut merangkum XP400 GT, Django Cafe Racer, Django Classic dan Speedight 4+.
XP400 GT – RM43,990

Peugeot XP400 GT merupakan skuter adventure dengan enjin satu silinder 400cc yang berupaya menjana 36.7hp dan 38.1Nm. Kuasa disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi automatik CVT.
Antara kelengkapan ditawarkan termasuk fork USD dari KYB 41mm dan penyerap hentak belakang juga dari KYB. Brek pula merangkumi cakera brek 295mm depan dan 240mm belakang masing-masing dipadankan bersama ABS dual-channel selain traction control.

Selain itu turut ditawarkan meter TFT 5-inci yang ditempatkan di antara dua meter analog. Juga terdapat slot USB, handguard serta sistem keyless. Skuter XP400 GT ini juga dilengkapi dengan tangki bahan api berkapasiti 13.5L.
Seperti pesaingnya Zontes 368G, XP400 GT ini juga dilengkapi dengan rim 17-inci depan dan dipadankan dengan tayar Pirelli Scorpion Rally STR secara standard.
Django Cafe Racer – RM16,990

Turut membarisi barisan model Peugeot Motocycles untuk pasaran tempatan adalah Django Cafe Racer 150.
Menawarkan reka bentuk retro, Django Cafe Racer merupakan versi sporty kepada Django Classic 150.
Menggerakan skuter ini adalah enjin satu silinder 150cc yang menawarkan 12.4hp dan 13.2Nm. Kuasa disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi automatik CVT.

Antara perincian tersenarai termasuk dual-channel ABS, meter TFT berwarna, lampu LED penuh dengan DRL, tangki 8.5L, tayar Michelin City Grip 12-inci, bar-end mirror dan pelindung lampu depan serta tempat gantung teh ais ikat tepi.
Sementara itu, varian Classic pula boleh didapati dengan harga RM14,990.
Speedfight 4+

Speedfight 4+ merupakan skuter bandar 150cc yang ditawarkan pada harga RM9,990 dan merupakan model paling mampu milik dikalangan barisan model Peugeot Motocycles.
Menggerakan Speedfight 4+ adalah enjin satu silinder 150cc yang berupaya menjana 12.4hp pada 7,500rpm dan 13.2Nm pada 5,500rpm.

Antara kelengkapan lain ditawarkan termasuk meter digital LCD dan ABS dual-channel. Namun begitu, skuter ini masih lagi menggunakan kunci mekanikal berbanding keyless.
GALERI: PEUGEOT SPEEDFIGHT 4+





















GALERI: PEUGEOT DJANGO CAFE RACER 150

















GALERI: PEUGEOT XP400 GT


























