
KKR LANCAR GARIS PANDUAN PEMASANGAN SISTEM PENGECASAN EV (EVCS)
Kementerian Kerja Raya (KKR) melancarkan Garis Panduan Reka Bentuk dan Pemasangan Sistem Pengecasan Kenderaan Elektrik (EVCS), di sini, hari ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, pelancaran garis panduan itu dilihat mampu merancakkan pembangunan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) terutama di jalan negeri dan jalan bandaran.
Katanya, pelancaran garis panduan EVCS itu tepat pada masanya kerana dasar kerajaan ketika ini yang mahu menggalakkan penggunaan EV selain masih berdepan krisis bahan api ekoran perang di Timur Tengah.
“Kami ada berbincang dengan menteri di mesyuarat pasca kabinet bagaimana JKR (Jabatan Kerja Raya) perlu proaktif untuk menjadi pemudah cara terhadap pembinaan stesen pengecasan EV bukan hanya di lebuh raya, tetapi di jalan-jalan persekutuan.

“Pada ketika harga minyak dan diesel mahal, maka EV adalah satu usaha yang sangat penting untuk ditambah,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Persidangan Pegawai Kanan (SOC) JKR Malaysia 2026, di sini, yang berlangsung selama tiga hari bermula Isnin lalu dengan pembabitan lebih 400 pegawai.
Beliau berkata, ketika ini tiada lagi stesen pengecasan dibina di jalan persekutuan, jalan negeri dan jalan bandaran di negara ini yang dilihat menjadi punca kerencatan penggunaan EV.
“Garis panduan yang dilancarkan pada hari ini akan dapat membantu kerajaan, negara dan juga rakyat bagi menggunakan kenderaan elektrik sama ada motosikal, kereta, bas ataupun apa sahaja.
“Kurangnya stesen pengecasan yang menyebabkan penggunaan EV itu terencat bilangannya, di sini JKR memainkan peranan.
“Saya harap usaha terus dilaksanakan untuk menambah dan mengadakan stesen pengecasan di jalan-jalan persekutuan di bawah pengelolaan JKR.
“Ini kali pertama seumpamanya di Malaysia ada buku garis panduan untuk stesen pengecasan EV. Ini contoh produk daripada JKR sendiri untuk faedah negara.
“Sebelum ni tak ada garis panduan apa pun, langsung tak ada. Jadi ia bukanlah diwajibkan tetapi pihak di luar sana ingin memasang perlulah di tempat sesuai, ada kaedahnya melalui garis panduan ini,” katanya.
Menurutnya, buku garis panduan itu memberi manfaat kepada kontraktor, pengusaha stesen minyak, pereka, agensi kerajaan dan swasta yang mana ia boleh diperoleh menerusi laman web JKR. – Harian Metro


