Buletin

AUDI Q5 RASMI DI MALAYSIA – VARIAN Q5 ADVANCED DAN Q5 SPORTBACK, HARGA MULA RM352K

Generasi ketiga Audi Q5 kini rasmi memasuki pasaran tempatan menerusi dua varian, Q5 ADVANCED serta Q5 SPORTBACK S LINE.

Berikut adalah harga Audi Q5 mengikut varian:

  • Q5 Advanced – RM352,990
  • Q5 Sportback S line – RM421,990

VARIAN Q5 ADVANCED:

Varian ini menyasarkan pengguna yang mahukan SUV premium serba praktikal. Ia dikuasakan enjin 2.0 liter turbo menghasilkan 199PS dan 340Nm, digandingkan dengan transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan yang memacu roda hadapan.

Talaan casis menggunakan suspensi jenis comfort bersama rim 19-inci, memberikan perjalanan yang lebih lembut dan sesuai untuk kegunaan harian.

Dari sudut praktikaliti, ruang kargo mencecah 520 liter dan boleh diperluas hingga 1,473 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

Bahagian dalaman menampilkan gabungan material kulit dan sintetik dengan kemasan elegan. Sistem infotainmen pula terdiri daripada paparan digital 11.9-inci dan skrin OLED 14.5-inci, lengkap dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Fungsi kunci digital serta sistem Audi Connect membolehkan kawalan kenderaan melalui telefon pintar.

VARIAN Q5 SPORTBACK:

Versi Sportback tampil dengan rekaan bumbung coupe yang lebih sporty serta pakej S line yang lebih dinamik.

Enjin 2.0 liter turbo di sini menghasilkan 272PS dan 400Nm, dipadankan sistem pacuan semua roda quattro untuk cengkaman lebih baik. Suspensi sport S line dan rim 20-inci melengkapkan karakter pemanduan yang lebih tajam.

Walaupun ruang but sedikit berkurang kepada 515 liter (atau 1,415 liter maksimum), kabin menawarkan suasana lebih premium dan sporty termasuk tempat duduk sport larasan elektrik, stereng rata atas dan bawah, serta kemasan gentian karbon. Sistem audio juga dipertingkat kepada Bang & Olufsen 3D premium.

Tambahan menarik ialah lampu brek unjuran (Next Generation Projection Brake Light) di belakang yang memberi amaran visual kepada kenderaan di belakang.

Kedua-dua varian dilengkapi lampu utama Matrix LED, kawalan pelayaran adaptif, bantuan parkir, serta mod pemanduan Audi Drive Select.

Sistem bantuan suara pintar dalam kenderaan turut dipertingkat dengan integrasi ChatGPT, membolehkan interaksi lebih natural serta akses maklumat masa nyata.

Seperti dinyatakan di atas, Audi Q5 boleh dimiliki pada harga bermula RM352,990 (Q5 Advanced) dan RM421,990 untuk varian Q5 Sportback S line.

Setiap pembelian Audi Q5 baharu didatangkan dengan waranti 2 tahun tanpa had perbatuan, 5 tahun penyelenggaraan percuma dan 5 tahun bantuan tepi jalan.

Melalui Audi Assurance Package, waranti boleh dilanjutkan hingga 5 tahun atau 150,000km, bersama manfaat tambahan servis dan bantuan kecemasan.

GALERI:

AUDI Q5:

AUDI Q5 SPORTBACK:

Google ads
Back to top button