Motosikal

DUA MARSHAL DITAHAN POLIS KETIKA SERAH DIRI, SEORANG BERPANGKAT DATUK

Dua orang lelaki termasuk seorang berpangkat Datuk yang dipercayai terlibat dalam rakaman aksi marshal seperti yang tular dalam sebuah video di Facebook Ahad lalu, ditahan ketika menyerah diri di Balai Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson kelmarin.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kedua-dua mereka yang berusia 45 dan 49 tahun itu hadir ke balai polis, masing-masing pada pukul 12.45 tengah hari dan 2.30 petang.

“Salah seorang berpangkat Datuk ialah ahli perniagaan dan seorang ejen insuran telah hadir ke balai trafik sejurus selepas  mengetahui aksi mereka yang dirakam telah ditularkan secara meluas di media sosial.

“Pihak polis telah menahan kedua-dua lelaki sebaik mereka menyerah diri di Balai Polis Trafik Port Dickson,” katanya dalam satu kenyataan. 

Polis turut merampas dua buah motosikal berkuasa tinggi dan beberapa barangan milik individu yang digunakan kedua-dua marsyal berkenaan seperti yang dirakam. 

“Kami masih menjalankan siasatan lanjut secara menyeluruh terhadap kedua-dua lelaki ini jika wujud lain-lain kesalahan,” katanya. 

Sebelum ini, media melaporkan bahawa polis sedang mengesan individu yang bertindak sebagai marshal dengan memberi arahan kepada sebuah kenderaan awam supaya memperlahankan kenderaannya. Video berdurasi tiga minit itu memaparkan tindakan marsyal itu bagi membolehkan sekumpulan motosikal berkuasa tinggi melalui sebuah jalan di sana.

Dalam rakaman tersebut, konvoi motosikal itu dipercayai bergerak dari arah Kuala Sungai Baru, Alor Gajah di Melaka melepasi kawasan Jalan Tanjung Agas, Pasir Panjang.

Siasatan dijalankan bawah Seksyen 21 Akta Polis 1967, Sekyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (halangan lalulintas) dan Kaedah-Kaedah Lalulintas 167/59(Kaedah 12(3)(A) – (Kesalahan di garisan berkembar). – UTUSAN ONLINE 

Google ads
Back to top button