Buletin

APPLE AIRTAGS JADI PERANTI TERBAHARU PENCURI REMBAT KENDERAAN MEWAH

Pencuri kenderaan kini memiliki taktik terbaharu dalam merembat kenderaan-kenderaan mewah dengan menggunakan Apple AirTags.

Peranti penjejakan terbabit memudahkan mencari kunci tetapi ia juga boleh digunakan untuk tujuan kurang baik seperti stalking.

Bagaimanapun, pihak Polis Wilayah York Kanada mendedahkan peranti kecil berkenaan kini menjadi medium untuk membantu mencuri kenderaan-kenderaan mewah.

Dalam satu kenyataan media, para pegawai dari Unit Pencurian Auto/Kargo memberitahu sebanyak lima insiden melibatkan peranti kecil tersebut.

“Suspek telah meletakkan peranti penjejakan pada kenderaan mewah untuk menjejak dan mencuri kenderaan berkenaan,” katanya.

Pihak polis menjelaskan AirTags akan diletakkan pada kawasan yang sukar dikesan pada kenderaan yang menjadi sasaran suspek apabila parkir di kawasan awwam seperti pasar raya ataupun kedai runcit.

Apabila pemilik kenderaan pulang ke rumah, suspek akan menggunakan peranti itu untuk mengesan rumah mangsa dan mencuri kenderaan tersebut.

Biarpun, pihak polis menamakan Apple Airtags sebagai peranti yang digunakan dalam modus operandi berkenaan tetapi Samsung Galaxy SmartTags dan Tile memiliki fungsi sama.

Bahkan, agak sukar untuk orang ramai membendung kenderaan mereka dijejaki pencuri terutama apabila ia berada pada kawasan awam.

Pihak polis menasihati orang ramai agar mengunci garaj ataupun pagar rumah serta menggunakan kunci stereng untuk mengelak kenderaan daripada dibawa lari pencuri. – carscoops

Google ads
Back to top button