Artikel Pilihan

EVOLUSI TOPI KESELAMATAN PERLUMBAAN FORMULA 1

Perlumbaan kokpit terbuka dengan semua tayar terdedah (open wheel race) merupakan satu perlumbaan yang sudah lama wujud dalam arena perlumbaan. Kelebihan menggunakan open wheel ialah ia membenarkan pemandu untuk melihat arah pergerakan tayar ketika menuju ke arah apeks selekoh dan mebetulkan stering dengan pantas.

Bagi membenarkan pemandu melihat pergerakan tayar dengan mudah, rekaan cesi dibuat dengan terbuka menyebabkan kepala mereka terdedah kepada bahaya disebabkan tiada sebarang struktur cesi melindungi bahagian kepala melainkan topi keledar keselamatan.

Tapi tahukah anda ketika konsep perlumbaan kereta zaman dulu diadakan, kepala pelumba hanya dilindungi oleh pelapik kulit atau kain sahaja bagi melindungi dari elemen angin sejuk. Manakala mata pula dilindungi oleh pelindung mata yang diambil dari juruterbang. Disebabkan konsep perlumbaan dan memandu laju ketika itu masih baru, ramai pelumba tidak sedar akan bahaya dalam perlumbaan

Konsep topi keselamatan dalam perlumbaan sebenarnya diambil dari topi yang dipakai oleh pemain polo dimana pemain polo yang menunggang kuda perlu memakai topi bagi melindungi kepala mereka jika terjatuh. Secara asasnya ia hanyalah pelapik lembut di bahagian dalam dan resin yang kuat di bahagian luar. Namun rekaan ini tidak cukup kuat untuk melindungi pelumba dari kecederaan maut.

Topi keledar moden sebenarnya diperkenalkan oleh syarikat Bell menerusi model Bell 500 TX, dihasilkan dengan fiberglass dan melindungi bahagian bawah kepala dan telinga. Rekaan ini diperakui selamat oleh Snell, satu NGO yang mengkaji dan meluluskan topi keledar keselamatan. NGO ini ditubuhkan oleh rakan-rakan Pete Snell selepas Snell terkorban dalam nahas perlumbaan.

Sehingga hari ini Snell menjadi rujukan dan sentiasa memberi cadangan dalam meningkatkan tahap keselamatan topi keledar yang digunakan dalam perlumbaan. Topi keledar full face pula diperkenalkan bermula dari tahun 1968 dengan mengambil rekaan yang digunakan oleh pelumba motocross bagi melindungi hidung, mata dan mulut dari lumpur dan habuk ketika perlumbaa.

Ia direka oleh Bell bagi Dan Gurney kerana disebabkan terlalu tinggi, mukanya sering dihentam objek ketika berlumba. Bermula dari tahun 1969 topi keledar full face menjadi satu peralatan keselamatan wajib dalam perlumbaan F1. Rekaan ini melindungi muka pelumba dan dagu sekiranya muka pelumba terhentak pada roda stering.

Satu lagi ancaman dalam perlumbaan F1 ialah risiko untuk terperangkap dalam api selepas kemalangan seperti yang dialami oleh Niki Lauda. Jadi bahan sintetik seperti Nomex yang kalis api dan haba diperkenalkan di bahagian lining dalam. Malah bagi melindungi bahagian leher, lapisan Nomex ini perlu dipakai sehingga melepasi paras leher.

Dalam kes kemalangan pada tahun 1976 yang melibatkan Niki Lauda, topi keledar AGV yang digunakannya ketika bersama pasukan Ferrari menggunakan sistem klip yang berbeza dengan pasukan lain. Walaupu lebih selesa, rekaan ini ada kelemahan dimana klipnya tercabut ketika kemalangan dan mendedahkan muka Niki Lauda pada api dan asap. Hanya lapisan Nomex melindunginya ketika dalam api.

Visor pula menjadi komponen yang penting dalam rekaan topi keledar keselamatan menjalang tahun 1970an. Standard yang baru menggariskan bahawa visor perlu menahan projectile atau peluru seberat 1.2g yang ditembak dari senapang. Ia biasanya dihasilkan dari sintetik gentian polikarbonat yang kuat.

Rekaan terbaru topi keselamatan F1 menggunakan gentian karbon sebagai bahan utama pembinaan di bahagian luar (lebih ringan dari Kevlar), diperkukuhkan dengan Zylon Strip pada bahagian dahi untuk menahan impak terus yang lebih kuat, visor yang mampu menahan peluru, diperkukuhkan dengan bahan kalis api dan kalis haba.

Bagi mengurangkan lagi kecederaan pada bahagian leher jika berlakunya kemalangan, carbon fibre collar telah diwajibkan bermula dari tahun 2003. Walaupu ia mendapat tentangan dari pelumba yang mengatakan pergerakan kepala mereka menjadi terlalu terhad, namun saranan dari jurutera dan doktor mendapat perhatian FIA. Nak berlumba, anda wajb memakai carbon fibre collar ini.

Akhir sekali bagi melindungi pemandu, satu peranti yang dinamakan sebagai Halo dipasang pada bahagian cesi kereta di bahagian kokpit melindungi pemandu terus dari impak kemalangan dan juga objek. Hali dihasilkan dari titanium dengan berat sekitar 7kg berupya menahan berat sehingga 12,000kg ketika kemalangan.

Ini terbukti dalam GP Hungary ia menghalang tayar belakang kereta F1 daripada melanggar terus kepala Sukie Makino dalam satu kemalangan.

Google ads
Back to top button