Motosikal

MOTOGP CATALUNYA 2020: QUARTARARO JUARA. SUZUKI CATAT KEMENANGAN 2-3 DALAM TEMPOH 13 TAHUN

Hasrat pelumba pasukan factory Yamaha, Valentino Rossi untuk berada di podium musnah apabila terjatuh di selekoh ke-2 ketika perlumbaan berbaki 9 pusingan.

Rossi yang baru sahaja menandatangani kontrak selama setahun dengan pasukan satelit Yamaha SRT nyata kecewa kerana gagal mencatat keputusan terbaik pada penampilan kali ke-350 dalam kariernya.

Sejak dari awal perlumbaan, tiga jentara Yamaha berada di hadapan. Selepas berjaya memotong rakan sepasukan, Franco Morbidelli, Fabio Quartararo dilihat selesa memimpin saingan.

Kemenangan itu membolehkannya memintas peneraju carta, Andrea Dovizioso selepas mengumpul 108 mata. Dia kini boleh tersenyum semula selepas kecewa selepas hanya berada di kedudukan keempat hujung minggu lalu.

Morbidelli yang memulakan perlumbaan di kedudukan pole nampaknya gagal memanfaatkan kelebihan itu apabila dipintas oleh dua orang pelumba Suzuki, Joan Mir dan Alex Rins ketika perlumbaan berbaki dua pisingan.  

Kedudukan 2-3 ini ialah keputusan terbaik pernah dicatat oleh pasukan Suzuki dalam tempoh 13 tahun berada dalam saingan MotoGP. Kali terakhir Suzuki mencatat keputusan podium berganda adalah pada tahun 2007 di litar Misano.

Keputusan itu juga membolehkan Mir berada di kedudukan ke-2 keseluruhan dengan 100 mata, mengatasi pelumba Yamaha Maverick Vinales di tempat ketiga dengan 90 mata.

Nasib nyata tidak menyebelahi pelumba pasukan factory Ducati, Dovizioso yang terjatuh seawal selekoh kedua selepas berlanggar dengan Johann Zarco.

Dia kini berada di kedudukan keempat dengan 84 mata. Manakala Morbidelli di tempat kelima dengan 77 mata.

Google ads
Back to top button