
FAKTA PENJAGAAN RANGE ROVER SPORT SVR. SUV SUPERCAR JAMES BOND
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan membincangkan tentang kos penjagaan sebuah SUV yang power dari United Kingdom. Jentera yang dimaksudkan tersebut adalah Range Rover Sport SVR.
Range Rover merupakan satu jenama mewah dibawah seliaan Land Rover. Land Rover pula merupakan jenama dibawah syarikat Jaguar Land Rover. Jaguar Land Rover pula merupakan anak syarikat Tata Motors iaitu syarikat yang berpangkalan di India.
Sepertimana yang kita tahu, Land Rover merupakan syarikat pengeluar SUV terkemuka dimana fokus mereka memang terhadap produksi SUV. Oleh yang demikian, diantara barisan model keluaran mereka, Range Rover Sport SVR merupakan jentera yang paling berkuasa.
Laju ke SVR ni ? Gila tak laju. 550hp dan 681Nm bagi model Pre-Facelift. 575hp dan 700Nm bagi model Facelift. Berat jentera ini pula adalah dalam lingkungan 2.1 tan.

Jentera ini mampu memecut dari 0-100km/h dalam jangkamasa 4 saat sahaja dan mencapai kelajuan tertinggi 280km/h. Berani tak berani je nak tekan.
Untuk cerita lebih lanjut tentang jentera ini, kita akan ceritakan di artikel berlainan. Untuk artikel kali ini, kita fokus pada kos penjagaan jentera gergasi yang laju ini.
🛠 𝐄𝐍𝐆𝐈𝐍𝐄 𝐎𝐈𝐋 𝐒𝐄𝐑𝐕𝐈𝐂𝐄
Enjin yang digunakan oleh Range Rover Sport SVR adalah enjin 8 Silinder V8 Supercharger berkod AJ-V8 yang mempunyai sesaran sebesar 4,999cc(5.0L). Jumlah minyak enjin yang diperlukan bagi setiap kali servis adalah sebanyak 8 Liter.
Kelikatan minyak yang disarankan adalah 0W-20 Fully Synthetic. Rutin servis minyak enjin hendaklah dilakukan sekali dengan menukar unit “Oil Filter”. Kos bagi rutin servis ini adalah dalam lingkungan RM800-RM900 bergantung kepada jenama minyak.
🛠 𝐓𝐑𝐀𝐍𝐒𝐌𝐈𝐒𝐒𝐈𝐎𝐍 𝐒𝐄𝐑𝐕𝐈𝐂𝐄
Jentera ini dilengkapi dengan kotak gear 8-kelajuan 8HP70 daripada ZF. Kotak gear ini mampu menampung daya kilas dari enjin sehingga 700Nm tanpa masalah.

Saiznya juga besar dan bermakna kapasiti ATF yang diperlukan juga banyak. Rutin servis kotak gear ini memerlukan ATF sebanyak 8.5 Liter dan ditukar bersama “Transmission Pan”. Kenapa perlu tukar “Transmission Pan” ? Kerana unit “Filter” dibina sekali dengan “Pan”. Nak taknak kena lah tukar sekali.
Kos untuk menukar ATF dan “Transmission Pan” berjumlah kira-kira RM2,900-RM3,500.
Sekarang kita pergi pula ke bahagian “Wear & Tear Parts”.
🔧 𝐁𝐑𝐀𝐊𝐄 𝐏𝐀𝐃𝐒
“Brake Pads” merupakan komponen yang penting di dalam sistem brek. Kegagalan ia berfungsi dengan baik akan merisikokan nyawa pemandu, penumpang dan pengguna jalanraya yang lain.
Jentera ini mempunyai kuasa kuda lebih dari 500hp dan mempunyai berat lebih dari 2 tan. Oleh yang demikian, ia dilengkapi dengan angkup brek 6 piston dari Brembo pada bahagian hadapan.

Angkup brek yang besar ini dilengkapi dengan set pad brek yang juga dari Brembo. Sampai satu masa, ianya akan habis dan perlu ditukar. Kosnya adalah dalam lingkungan RM1,800-RM2,200. Jangan pakai jenama yang pelik-pelik ye. Bukan apa. Diatas saya dah sertakan nilai kuasa serta berat jentera ini. “Stopping Power” yang diperlukan oleh jentera ini adalah tinggi dan tidak boleh diambil mudah.
Untuk bahagian belakang, angkup brek berintegrasi dengan sistem E-Brake. Harga pad brek nya tidak lah mahal mana. Dalam lingkungan RM750-RM850 sahaja.
🔧 𝐁𝐑𝐀𝐊𝐄 𝐑𝐎𝐓𝐎𝐑𝐒
Rotor Brake atau “Brake Rotor” atau “Brake Disc”. Komponen ini kebiasaannya akan semakin menipis dan sekiranya di dalam keadaan ekstrem seperti menuruni cerun, ia boleh menjadi bengkok dan tidak rata.
Jentera ini menerima set rotor bersaiz 380mm pada bahagian hadapan dan bersaiz 365mm pada bahagian belakang.
Jika kondisi rotor sudah menipis ataupun bengkok ketika pemeriksaan dilakukan, dinasihatkan untuk tukar dengan unit yang baru. Kosnya adalah dalam lingkungan RM2,100 bagi sepasang set hadapan dan RM1,800 bagi sepasang set belakang. Harga mungkin berubah mengikut nilai matawang semasa.

🔧 𝐀𝐈𝐑 𝐅𝐈𝐋𝐓𝐄𝐑
“Air Filter” atau Penapis Udara merupakan komponen yang menapis udara dari luar sebelum masuk ke enjin. Disebabkan konfigurasi enjin ini merupakan enjin V8, ia mempunyai dua unit “Ar Filter”.
Ketika rutin servis dilakukan, kebiasaan pihak bengkel akan melakukan pemeriksaan terhadap komponen ini, sekiranya tidak terlalu kotor, ia boleh dibersihkan melalui semburan angin. Sekiranya sudah terlalu kotor atau reput, ia perlu ditukar dengan yang baru.
Kos untuk menukarnya adalah dalam lingkungan RM270-RM350 seunit. Dikalikan dengan dua.
🔧 𝐂𝐀𝐁𝐈𝐍 𝐅𝐈𝐋𝐓𝐄𝐑
“Cabin Filter” atau “Aircond Filter” berfungsi untuk menapis udara luar yang masuk ke dalam kabin kenderaan. Sekiranya komponen ini sudah kotor, akan terdapat bau-bauan yang tidak menyenangkan masuk ke dalam kabin kenderaan anda.

Komponen ini mempunyai “Activate Charcoal” yang berfungsi untuk menyerap bau-bauan yang tidak enak dari masuk ke kabin. Oleh yang demikian, harganya juga tidaklah terlalu murah. Kedudukan komponen ini berada di bahagian belakang “Glove Box”. Proses untuk menukarnya tidaklah sukar mana. Kos untuk menukarnya adalah dalam lingkungan RM350 sahaja.
🔧 𝐖𝐈𝐏𝐄𝐑 𝐁𝐋𝐀𝐃𝐄
Komponen ini rasanya tidak perlu saya terangkan lagi tentang fungsinya. Umum mengetahui fungsinya serta apa yang akan teruadi sekiranya ia sudah rosak.
Kos untuk menukarnya tidaklah mahal mana. Ada yang Ori ada yang OEM. Dalam lingkungan RM200 sahaja sepasang.
🔧 𝐀𝐈𝐑𝐂𝐎𝐍𝐃 𝐅𝐋𝐔𝐒𝐇𝐈𝐍𝐆
Sistem Penghawa Dingin kenderaan terdiri daripada beberapa komponen dan sistem ini berfungsi secara “Close Loop”.
Di dalam sistem ini, terdapat dua entiti utama iaitu minyak “Compressor” dan juga gas R134a. Proses “Aircond Flushing” adalah bertujuan untuk membersihkan sistem dari kotoran serta keladak yang boleh merosakkan komponen-komponen utama sistem penghawa dingin kenderaan.

Proses ini disarankan dilakukan setiap 40,000km. Ketika proses dilakukan, minyak dan gas yang lama akan dikeluarkan dan ditukar dengan yang baru. Kosnya dalam lingkungan RM250.
Cuma bagi model yang terbaharu seperti model Facelift bermula tahun 2018, ia menggunakan gas R1234yf. Mahal gas ni. Ribuan ringgit ye harganya.
🔧 𝐒𝐏𝐀𝐑𝐊 𝐏𝐋𝐔𝐆
Enjin ini merupakan enjin 8 Silinder. Oleh yang demikian, 8 unit “Spark Plug” diperlukan. “Spark Plug” perlu diperiksa dan ditukar secara berkala. Hal ini untuk memastikan sistem penyalaan berada di dalam keadaan yang sempurna.
Kegagalan komponen ini akan menyebabkan enjin “Misfiring” dan boleh mengakibatkan kerugian yang lagi besar. Proses menukarnya juga tidak mudah dimana banyak komponen yang perlu dikeluarkan untuk mendapat akses ke “Spark Plug”. Ruangan yang terhad dan kedudukan badan jentera yang tinggi akan mengakibatkan proses penukaran “Spark Plug” mengambil masa yang lama.
Oleh yang demikian, kos untuk menukar komponen ini juga tidaklah murah, dalam lingkungan RM1,200 termasuk upah.

🔧 𝐈𝐆𝐍𝐈𝐓𝐈𝐎𝐍 𝐂𝐎𝐈𝐋
Sepertimana “Spark Plug”, unit “Ignition Coil” juga terdapat 8 unit kesemuanya untuk enjin ini. Komponen ini jarang rosak. Namun sekiranya rosak simptomnya sama seperti kerosakan “Spark Plug” dimana enjin akan “Misfiring”.
Kos untuk menukarnya pun tidak lah mahal sangat. Sekitar RM450 sahaja untuk seunit tidak termasuk upah. Upah bergantung kepada silinder mana yang rosak. Jarang lah rosak sampai 8 unit sekaligus.
🔧 𝐀𝐁𝐒𝐎𝐑𝐁𝐄𝐑
Jentera ini menggunakan sistem “Air Suspension” sebagai sistem gantungannya. Bahagian hadapan menggabungkan sistem “McPherson Strut” bersama “Air Spring”. Oleh yang demikian, jika belaku kebocoran, ia perlu ditukar sekali. Kosnya adalah dalam lingkungan RM6,000 seunit. Sekiranya jentera anda dilengkapi dengan sistem “Active Corner Enhancement” atau ACE bersama sistem “Continuous Variable Damping”. Harga bagi seunit mencecah RM14,000. Dikalikan dengan dua.
Bahagian belakang pula mengasingkan komponen “Air Spring” dengan unit “Absorber”. Kerosakan yang biasa berlaku adalah kebocoran “Air Spring”. Kos bagi penukaran “Air Spring” belakang adalah dalam lingkungan RM4,500 seunit.

Komponen ini tidaklah selalu rosak sebenarnya, cuma bagaimana dia boleh rosak adalah tidak dijangka. Bersedia sajalah dari segi kewangan.
🔧 𝐀𝐈𝐑 𝐒𝐔𝐒𝐏𝐄𝐍𝐒𝐈𝐎𝐍 𝐂𝐎𝐌𝐏𝐑𝐄𝐒𝐒𝐎𝐑
Kebiasaannya komponen ini akan rosak berpunca daripada kebocoran “Air Spring”. Sekiranya ada kebocoran, “Compressor” akan sentiasa beroperasi sehingga “Overheat”.
Apabila “Overheat”, komponen ini sudah tidak dapat berfungsi dengan optimum dan kebarangkalian ia “Jammed” adalah tinggi.
Kos untuk menukar komponen ini adalah dalam lingkungan RM6,000-RM6,500. Selepas penukaran dilakukan, proses “Calibration” perlu dilakukan untuk memastikan ketinggian setiap penjuru adalah sama.
🔧 𝐀𝐈𝐑𝐂𝐎𝐍𝐃 𝐂𝐎𝐌𝐏𝐑𝐄𝐒𝐒𝐎𝐑
Komponen ini jarang rosak sebenarnya. Namun ia tetap mempunyai potensi untuk rosak sekiranya sistem penghawa dingin tidak diservis secara berkala.

Sekiranya rosak, unit kompressor ini memakan kos sekitar RM4,500 tidak termasuk gas dan upah. Mahal bukan ? Oleh itu, sentiasa lah jaga secara berkala dengan melakukan “Flushing”.
🔧 𝐃𝐑𝐈𝐕𝐄 𝐁𝐄𝐋𝐓
Jentera ini mempunyai 2 “Belt” iaitu “Primary Drive Belt” dan “Secondary Drive Belt”. “Primary Drive Belt” memacu komponen seperti “Alternator”, “Aircond Compressor” dan “Waterpump”. “Secondary Drive Belt” pula memacu unit “Supercharger”.
Sekiranya sudah nampak kesan keretakan halus pada komponen ini, sebaiknya ditukar dalam kadar segera. Kos untuk menukar “Primary Drive Belt” adalah dalam lingkungan RM950 dan “Secondary Drive Belt” pula dalam lingkungan RM750.
🔧 𝐑𝐎𝐀𝐃𝐓𝐀𝐗
Nilai cukai jalan sentiasa bermain di fikiran rakyat Malaysia sebelum membuat keputusan memiliki apa-apa jentera.
Jentera ini mempunyai enjin bersesaran 4,999cc. Jentera ini diklasifikasikan sebagai sebuah SUV. Oleh yang demikian, nilai cukai jalan bagi jentera ini adalah RM4,838.40 untuk setahun. Kadar cukai jalan jentera ini adalah sama baik pemilikan persendirian mahupun syarikat.

Nilai insurans pula bergantung kepada nilai semasa jentera bersama kadar peratusan NCD pemilik.
Jadi Tuan-Tuan. Inilah sedikit sebanyak yang saya dapat kongsikan tentang fakta penjagaan Range Rover Sport SVR. Sebahagian komponen-komponen diatas tidaklah perlu ditukar secara kerap. Namun dengan adanya anggaran kos, diharap mampu membantu Tuan-Tuan bersedia dari segi kewangan.
Perlu diingat, harga jentera ini ketika dijual adalah dalam lingkungan RM1 Juta. Hal ini disebabkan teknologi serta kualiti material yang diguna pakai adalah tinggi. Begitu juga dengan jenama Range Rover itu sendiri. Tidak hairanlah kenapa harga alat gantinya mahal.

Begitu juga dengan “Special Tools”, “Diagnostic Tools” dan kemahiran yang tinggi oleh mekanik bagi mengendalikan jentera ini. Semuanya tidak murah dan melibatkan kos. Apa yang anda boleh lakukan adalah mengenalpasti bengkel yang mampu mengendalikan jentera ini dengan baik.
Jika anda bercadang ingin membeli jentera ini tidak kira unit terpakai atau “Recon”, dinasihatkan buat dahulu “Pre Purchase Inspection” bagi mengetahui kondisi sebenar jentera tersebut.