
PETRONAS SAHKAN TIDAK LAGI TAJA SEPANG RACING TEAM SELEPAS MUSIM MOTOGP 2021
Sepang International Circuit Sdn Bhd (SIC) dan PETRONAS mengumumkan secara rasmi bahawa kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menamatkan kerjasama sebagai Title Partnership ke atas PETRONAS Sepang Racing Team. Justeru, kerjasama berkenaan akan tamat selepas musim MotoGP 2021.
PETRONAS telah menjadi penaja utama SIC sejak tahun 2018 menerusi pasukan PETRONAS Sprinta dalam saingan Moto2 dan Moto3. Projek berkenaan dikembangkan ke MotoGP pada tahun 2019 melalui PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team.
Bermula 2022, pasukan tersebut akan membuat pengumuman berkaitan saingannya dalam MotoGP sebagai satu entiti bebas.

“SIC ingin mengucapkan terima kasih kepada PETRONAS di atas sokongan sepanjang kerjasama ini. Kami menghormati keputusan PETRONAS dan bersetuju bahawa kerjasama ini sudah mencapai objektifnya. Kami menghargai kerjasama ini dengan pelbagai pencapaian hebat.
“Saya yakin ini bukanlah pengakhiran kolaborasi kami dalam sukan bermotor kerana kami akan terus membangunkan bakat-bakat muda. SIC berbangga kerana terlibat dalam pembentuan pasukan yang prestasinya melangkaui jangkaan. Kami doakan yang terbaik buat pasukan di bawah entiti baharu nanti,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman.
PETRONAS menyatakan ia menjalin kerjasama dengan SIC untuk membuktikan keupayan R&D. “Kami berbangga Penyelesaian Teknologi Bendalir PETRONAS menjadi elemen penting dalam menjadikan pasukan ini pesaing yang digeruni. Kami rasa sudah tiba masanya untuk menamatkan kerjasama ini.
“Bagi pihak PETRONAS, kami ingin mengucapkan terima kasih atas komitmen SIC dalam menjayakan kerjasama ini,” kata Ketua Komunikasi Strategik PETRONAS, Datin Anita Azrina Abdul Aziz.