Artikel Pilihan

FAKTA PENJAGAAN TOYOTA WISH SEPET. AE20 2009

Sebut sahaja tentang Toyota Wish, ramai yang mengetahui kewujudan jentera ini di negara kita. Mana tidaknya, jentera ini merupakan antara jentera yang paling laris di Jepun dan juga di Malaysia.

Yang membuatkannya lagi hebat, ia dibawa masuk secara “Recon”. Bukan melalui pengedar sah. Hanya pada tahun 2006 pihak UMW Toyota pernah membawa masuk secara sah, namun jualannya sendu. Orang ramai cenderung memilih unit “Recon” kerana harganya yang lebih rendah.

Toyota Wish ada dua generasi. Generasi pertama menggunakan kod Chassis ANE10, ANE11, ZNE10 dan ZNE14. Bahasa pasar bagi Toyota Wish generasi pertama ini di negara kita adalah Wish Legend.

Generasi kedua pula menggunakan kod Chassis ZGE20, ZGE21, ZGE22 dan ZGE25. Namun kebanyakan model yang dibawa masuk ke Malaysia adalah ZGE20 dan ZGE25. Model Wish generasi kedua ini kebiasaannya dipanggil Wish Sepet oleh rakyat Malaysia.

ZGE21 dan ZGE22 menggunakan pacuan 2 roda(2WD). Namun ia dipacu dengan enjin 3ZR-FAE yang mempunyai sesaran sebesar 1,986cc(2.0L). Model ini ada di Malaysia, cuma terhad. “Rare” matsaleh cakap.

Perbezaan ZGE20 dan ZGE25 adalah konfigurasi pacuan roda dimana ZGE20 menggunakan pacuan 2 roda(2WD) manakala ZGE25 menggunakan pacuan 4 roda(4WD).

Kedua-dua model ZGE20 dan ZGE25 dikuasakan oleh enjin 4 silinder sebaris berkod 2ZR-FAE yang mempunyai sesaran sebesar 1,798cc(1.8L). Enjin ini mampu menghamburkan kuasa sebanyak 142hp pada 6,400rpm dan daya kilas 176Nm pada 4,400rpm. Itu untuk model 2WD. Untuk model 4WD iaitu ZGE25, enjin yang sama namun kuasanya lebih rendah iaitu 131hp pada 6,400rpm dan daya kilas sekuat 164Nm pada 4,400rpm. Konfigurasi pacuan 4 roda merupakan faktor utama model ini kehilangan sedikit kuasa.

Sudah jelas tentang model-model Wish, kita pergi pula pada topik utama kita iaitu fakta dan kos penjagaan jentera ini.

🛠 𝐄𝐍𝐆𝐈𝐍𝐄 𝐎𝐈𝐋 𝐒𝐄𝐑𝐕𝐈𝐂𝐄

Kedua-dua varian 1.8L dan 2.0L menggunakan minyak enjin sebanyak 4.2L bagi setiap kali rutin servis. Oleh yang demikian, pemilik disarankan membeli minyak berkapasiti 5 Liter. Lebih menjimatkan kos.

Kelikatan minyak yang disarankan pula adalah 5W-30 Fully Synthetic. Terdapat banyak jenama di pasaran yang menawarkan kelikatan sebegini. Minta nasihat mekanik anda untuk membuat pilihan terbaik.

Kos untuk rutin servis ini adalah dalam lingkungan RM350-RM500 termasuk upah dan “Oil Filter”. Mungkin akan lebih mahal sekiranya anda menggunakan minyak berjenama baik.

🛠 𝐓𝐑𝐀𝐍𝐒𝐌𝐈𝐒𝐒𝐈𝐎𝐍 𝐒𝐄𝐑𝐕𝐈𝐂𝐄

Jentera ini menggunakan kotak gear 7-Kelajuan Super CVT-i. ATF yang digunakan adalah dari jenis Toyota CVT Fluid TC bagi model tahun 2014 kebawah dan Toyota CVT Fluid FE bagi model tahun 2014 dan keatas.

Untuk pengesahan, lihat huruf pada “Filler Plug” kotak gear jentera anda.

Komponen yang perlu ditukar bagi setiap kali rutin servis adalah

  • ATF
  • Transmission Filter
  • Transmission Pan Gasket

Kosnya adalah dalam lingkungan RM450-RM550. Rutin servis ini disarankan dilakukan setiap 40,000km.

Sekarang kita pergi pula ke bahagian “Wear & Tear Parts”.

🔧 𝐁𝐑𝐀𝐊𝐄 𝐏𝐀𝐃𝐒

Pad brek merupakan komponen yang sangat penting untuk memastikan jentera mampu berhenti dengan jayanya.

Jentera ini merupakan sebuah jentera “Family” dan pastinya anda tidak mahu merisikokan nyawa keluarga anda.

Kebiasannya mekanik akan memeriksa keadaan pad brek anda ketika rutin servis dilakukan. Sekiranya perlu ditukar, kosnya adalah dalam lingkungan RM270-RM350 bagi bahagian hadapan dan RM220-RM300 bagi bahagian belakang.

🔧 𝐁𝐑𝐀𝐊𝐄 𝐑𝐎𝐓𝐎𝐑𝐒

Rotor Brake atau “Brake Rotor” atau “Brake Disc”. Komponen ini kebiasaannya akan semakin menipis dan sekiranya di dalam keadaan ekstrem seperti menuruni cerun, ia boleh menjadi bengkok dan tidak rata.

Solusinya, sekiranya masih tebal, permukaan rotor boleh di “Skim”. Adalah penting untuk mendapatkan permukaan yang rata. Sekiranya tidak rata, akan terasa gegaran yang kuat ketika membrek.

Sekiranya sudah menipis dan tiada ruang untuk “Skim”, adalah dinasihatkan untuk menukar unit rotor dengan yang baru.

Kosnya adalah dalam lingkungan RM550 bagi rotor depan dan RM510 bagi rotor belakang. Ada yang murah dan ada yang mahal. Bergantung kepada jenama.

🔧 𝐀𝐈𝐑 𝐅𝐈𝐋𝐓𝐄𝐑

“Air Filter” tujuannya asalah untuk menapis udara dari luar sebelum masuk ke dalam enjin. Sekiranya sudah terlalu kotor, ia akan menjejaskan prestasi enjin kerana nilai udara yang sepatutnya disedut menjadi semakin kurang akibat halangan.

Kebiasaannya komponen ini ditukar setiap 40,000km-50,000km. Kos untuk menukarnya adalah sekitar RM30-RM40.

Ada juga pilihan “Drop In Air Filter” daripada Works Engineering dengan harga lingkungan RM150-RM180.

🔧 𝐂𝐀𝐁𝐈𝐍 𝐅𝐈𝐋𝐓𝐄𝐑

“Cabin Filter” atau “Aircond Filter” berfungsi untuk menapis udara luar yang masuk ke dalam kabin kenderaan. Sekiranya komponen ini sudah kotor, akan terdapat bau-bauan yang tidak menyenangkan masuk ke dalam kabin kenderaan anda.

Kos untuk menukar komponen ini adalah sekitar RM20 sahaja. Murah bukan ? Ada juga jenama “Aftermarket” yang mengeluarkan komponen yang sama tetapi dengan material berbeza iaitu Activated Carbon dengan harga lingkungan RM70-RM80.

🔧 𝐀𝐈𝐑𝐂𝐎𝐍𝐃 𝐅𝐋𝐔𝐒𝐇𝐈𝐍𝐆

Sistem Penghawa Dingin kenderaan terdiri daripada beberapa komponen dan sistem ini berfungsi secara “Close Loop”.

Di dalam sistem ini, terdapat dua entiti utama iaitu minyak “Compressor” dan juga gas R134a. Proses “Aircond Flushing” adalah bertujuan untuk membersihkan sistem dari kotoran serta keladak yang boleh merosakkan komponen-komponen utama sistem penghawa dingin kenderaan.

Rutin “Aircond Flushing” ini disarankan dilakukan setiap 40,000km. Kosnya pula adalah sekitar RM150 sahaja. Okay lah ni. Bukan selalu.

🔧 𝐒𝐏𝐀𝐑𝐊 𝐏𝐋𝐔𝐆

Jentera ini dikuasakan dengan enjin 4 silinder sebaris. Oleh itu, hanya 4 unit “Spark Plug” diperlukan bagi setiap rutin servis.

Simptom sekiranya “Spark Plug” sudah berada dalam keadaan yang tidak baik, jentera akan tersengguk-sengguk ketika memecut. Pihak bengkel juga kebiasaannya akan membuat pemeriksaan keadaan “Spark Plug” bagi setiap rutin servis.

Sekiranya perlu ditukar, kosnya adalah dalam lingkungan RM200-RM280.

🔧 𝐈𝐆𝐍𝐈𝐓𝐈𝐎𝐍 𝐂𝐎𝐈𝐋

Enjin jentera ini menggunakan konfigurasi “Coil On Plug” dimana ia mempunyai satu “Ignition Coil” bagi setiap silinder. Enjin ini merupakan enjin 4 silinder sebaris. Oleh itu 4 unit “Ignition Coil” diperlukan bagi membolehkan enjin ini beroperasi.

Namun begitu, “Ignition Coil” bukanlah komponen yang senang rosak. Sekiranya rosak sekalipun, boleh ditukar unit yang rosak sahaja, bukan sekali 4. Kebiasaannya jika komponen ini rosak, enjin akan tempang kerana salah satu silinder tidak menghasilkan pembakaran.

Kos untuk menukar seunit “Ignition Coil” adalah dalam lingkungan RM120.

🔧 𝐕𝐀𝐋𝐕𝐄 𝐂𝐎𝐕𝐄𝐑 𝐆𝐀𝐒𝐊𝐄𝐓

Komponen ini diperbuat daripada getah. Kedudukannya berada diantara “Valve Cover” dan juga “Cylinder Head”.

Disebabkan materialnya daripada getah, ditambah pula kedudukannya di ruangan enjin, ia terdedah kepada tekanan dan suhu yang tinggi. Sampai masa ia akan mengeras dan mengibatkan kebocoran minyak.

Kos untuk menukarnya adalah sekitar RM120 termasuk upah.

🔧 𝐀𝐁𝐒𝐎𝐑𝐁𝐄𝐑

Absorber atau penyerap hentak tugasnya adalah untuk menyerap hentakan. Kegagalan komponen ini berfungsi dengan baik akan membuatkan jentera anda membuai ketika dipandu.

Nampak remeh, namun kerosakan komponen ini mampu mengancam nyawa anda. Bayangkan jentera anda membuai ketika dipandu melalui selekoh, kebarangkalian untuk berlaku kemalangan adalah tinggi.

Bukan itu sahaja, komponen sistem gantungan yang lain seperti “Bushing” dan tayar juga akan terkesan sama apabila komponen ini gagal.

Kos untuk menukar komponen ini adalah dalam lingkungan RM1,900 untuk set hadapan dan RM1,050 untuk set belakang. Ada juga pilihan yang murah daripada jenama OEM. Apa pun jenama, asalkan dalam keadaan baik boleh dipakai. Asalkan bukan yang rosak.

🔧 𝐖𝐇𝐄𝐄𝐋 𝐁𝐄𝐀𝐑𝐈𝐍𝐆

“Wheel Bearing” merupakan komponen yang berada diantara “Hub” dan “Knuckle”. Ada juga binaannya sekali dengan “Hub”.

Fungsinya adalah untuk mengurangkan geseran ketika “Hub” berpusing. Namun komponen ini juga terdedah kepada kerosakan.

Antara simptomnya adalah kedengaran bunyi dengungan daripada tayar. Sekiranya ada bunyi, dinasihatkan tukar “Wheel Bearing” anda dengan segera.

Proses untuk menukarnya juga agak leceh dan memakan kos yang tinggi. Anggaran dalam lingkungan RM400 bagi seunit hadapan dan RM700 bagi seunit belakang.

🔧 𝐀𝐈𝐑𝐂𝐎𝐍𝐃 𝐂𝐎𝐌𝐏𝐑𝐄𝐒𝐒𝐎𝐑

Sebagai pemilik kenderaan, komponen ini merupakan komponen yang paling kita semua takut untuk dia rosak. Namun, kebarangkalian untuk komponen ini rosak tetap ada. Lagi-lagi jika anda tidak pernah membuat “Aircond Flushing”.

Sekiranya rosak, harganya mampu mencecah RM2,000. Ada juga unit terpakai dan “Recon” dan dijual pada harga lingkungan RM1,000.

🔧 𝐃𝐑𝐈𝐕𝐄 𝐁𝐄𝐋𝐓

Fungsi “Drive Belt” ini adalah untuk memacu Alternator, “Water Pump” dan “Aircond Compressor”. Pemeriksaan secara visual boleh dilakukan kepada komponen ini. Sekiranya sudah kelihatan kesan rekahan, sebaiknya tukar dengan segera.

Kos untuk menukarnya tidaklah terlalu mahal. Sekitar RM120 sahaja

🔧 𝐑𝐎𝐀𝐃𝐓𝐀𝐗

Toyota Wish merupakan jentera kategori MPV. Oleh yang demikian, nilai cukai jalannya tidak sama dengan jentera sedan biasa.

Bagi model 1.8L, ia menggunakan enjin 2ZR-FAE yang mempunyai sesaran sebesar 1,798cc. Oleh itu, nilai cukai jalannya adalah RM359.40 untuk setahun.

Bagi model 2.0L, ia menggunakan enjin 3ZR-FAE yang mempunyai sesaran sebesar 1,986cc. Oleh itu, cukai jalannya sedikit tinggi iaitu RM434.40 setahun.

Disebabkan jentera ini di dalam kategori MPV, nilai cukai jalan bagi pemilikan persendirian dan syarikat adalah sama. Tiada beza.

Jadi Tuan-Tuan, ini lah sedikit sebanyak yang kami dapat kongsikan tentang fakta penjagaan Toyota Wish. Jentera ini merupakan jentera yang sangat berbaloi untuk dimiliki. Harganya mampu milik, senang dijaga dan tidak mudah rosak. Penggunaan bahan apinya juga pada kadar yang menjimatkan.

Percayalah, sekiranya dijaga dengan baik, jentera ini tidak akan memberikan anda masalah dan mampu bertahan untuk 10-15 tahun mendatang.

Google ads
Back to top button