Buletin

SELANGOR CAPAI IMUNITI KELOMPOK KURANG SEBULAN LAGI

Selangor dijangka mencapai imuniti kelompok dalam masa kurang dari sebulan susulan kerjasama bersepadu antara Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan Program Vaksin Selangor (SelVAX) di bawah kerajaan negeri.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam kenyataan berkata setakat Sabtu, 65.5 peratus daripada orang dewasa di Selangor telah menerima suntikan dos pertama mereka.

Berasaskan kapasiti setakat ini, kerajaan negeri yakin kerjasama bersepadu antara PICK serta tambahan program SelVAX dapat membawa warga Selangor mencapai imuniti kelompok dalam masa kurang dari sebulan. Sasaran imuniti kelompok dijangka dicapai apabila 80 peratus daripada populasi dewasa divaksin.

Justeru, program percuma SelVAX Komuniti yang sedang berlangsung saat ini akan diteruskan hingga 11 Ogos depan sebagai satu daripada strategi kerajaan negeri untuk menampung serta mempercepat pelaksanaan PICK.

Amirudin berkata selain daripada janji temu yang diterima daripada MySejahtera dan SELangkah, pelaksanaan secara ‘walk-in’ turut dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tertentu bagi memudahkan proses vaksinasi.

“Pelaksanaan vaksinasi secara ‘walk-in’ berkuat kuasa 2 Ogos depan, tertakluk kepada jadual pelaksanaan di DUN melibatkan 12 pusat pemberian vaksin (PPV) yang mana setiap satunya akan diperuntukkan sebanyak 1,300 suntikan sehari.

“Diharap usaha ini akan melengkapkan lagi Operasi Lonjakan Kapasiti yang sedang digerakkan di Greater Klang Valley,” katanya. – Bernama 

Google ads
Back to top button