Buletin

GEELY GALAXY V900 EREV TAWAR JARAK GERAK 1,200KM – TEMPAHAN KINI DIBUKA DI CHINA, ANGGARAN HARGA LEBIH RM200K

Geely Galaxy mengesahkan MPV EREV (extended-range electric vehicle) pertama dan paling mewah di bawah jenamanya, Galaxy V900, akan mula dibuka untuk pratempahan global pada 7 Januari.

Sebelum itu, akses tempahan awal telah pun dibuka di China sejak 25 Disember lalu. Menariknya, kesemua varian V900 hadir dengan pacuan semua roda (AWD) serta jarak pemanduan gabungan sehingga 1,200km.

Secara asas, Galaxy V900 boleh dianggap sebagai versi EREV kepada LEVC L380, MPV elektrik sepenuhnya yang kini turut berada di bawah payung Geely Galaxy hasil penstrukturan semula jenama.

Perubahan paling ketara dapat dilihat pada bahagian hadapan dengan penggunaan gril krom bersaiz besar, namun rekaan keseluruhan masih mengekalkan gaya berlapis yang moden dan premium.

Dari segi dimensi, V900 diposisikan sebagai MPV bersaiz sederhana ke besar dengan ukuran 5,360mm panjang, 1,998mm lebar dan 1,940mm tinggi, serta jarak roda 3,200mm.

Bagi konfigurasi kabin, Geely menawarkan tiga susun atur tempat duduk iaitu 6, 7 dan 8 tempat duduk. Paling unik ialah versi 8 tempat duduk yang menggunakan susun atur 2+2+2+2 dengan empat baris, sesuatu yang jarang ditawarkan dalam segmen MPV moden.

Di dalam kabin, Galaxy V900 dilengkapi paparan meter digital 10.25-inci dan skrin infotainmen tengah 15.4-inci yang menjalankan sistem Flyme Auto 2.0.

Penumpang baris kedua turut mendapat skrin kawalan 5.98-inci pada perehat tangan, yang boleh disepadukan dengan skrin hiburan bumbung.

Keselesaan dipertingkat lagi dengan tempat duduk yang menyokong pemanas, pengudaraan dan urutan, manakala sistem audio Flyme Sound dengan 27 pembesar suara melengkapkan suasana kabin mewah MPV ini.

Dari sudut trenkuasa, Galaxy V900 menggunakan teknologi Super AI Range-Extender Geely, menggabungkan enjin 1.5T bersama dua motor elektrik.

Enjin ini mencatat kecekapan terma setinggi 47.26%, manakala motor elektrik hadapan dan belakang masing-masing menghasilkan 90kW dan 250kW, menjadikan kuasa gabungan 340kW (456hp). Kelajuan maksimum dicatatkan pada 190km/j, dengan kelajuan ujian moose mencapai 76.8km/j.

Untuk bateri, terdapat dua pilihan pek litium ternari bergantung kepada varian – 43.3kWh dari CALB-Tech dan 50kWh dari CATL.

Kedua-duanya menawarkan jarak pemanduan elektrik tulen (CLTC) masing-masing 200km dan 240km, sebelum digabungkan dengan enjin bagi mencapai jarak keseluruhan 1,200 km.

Aspek bantuan pemanduan pula disokong oleh sistem G-Pilot H5, dikuasakan cip Nvidia Orin. Ia menggunakan kombinasi satu lidar, tiga radar gelombang milimeter, 12 radar ultrasonik dan 11 kamera, membolehkan fungsi seperti NOA lebuh raya, NOA bandar serta bantuan parkir automatik.

Setakat ini, harga rasmi Galaxy V900 masih belum didedahkan. Sebagai rujukan, MPV elektrik LEVC L380 dijual pada harga antara AS$42,900 hingga AS$85,800 (sekitar RM200,000 hingga RM401,000) bergantung kepada varian.

Google ads
Back to top button