
HYUNDAI UMUM STRATEGI ROBOTIK AI: LABUR RM122 BILION, SASAR PENGELUARAN 30,000 HUMANOID
Hyundai Motor Group mengumumkan pelan pelaburan besar berjumlah AS$26 bilion (sekitar RM122 bilion) di Amerika Syarikat bagi tempoh empat tahun bermula 2025, seiring pembentangan Strategi Robotik AI terbaharunya di CES 2026.
Pelaburan ini merangkumi pembinaan kemudahan robotik baharu dengan keupayaan pengeluaran sehingga 30,000 robot humanoid setahun menjelang 2028, selain memperluas kerjasama dalam bidang AI, pemanduan autonomi dan teknologi mobiliti masa depan.
Menurut Hyundai, inisiatif tersebut bertujuan mengukuhkan hubungan industri Korea Selatan–AS, merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan serta menjadikan tapak di AS sebagai hab pengeluaran utama bagi strategi mobiliti dan robotik kumpulan itu.
Pendekatan Hyundai melihat robotik bukan sekadar teknologi berdiri sendiri, sebaliknya sebagai lanjutan teras kepada operasi pembuatan, logistik dan mobiliti.

Teras strategi ini berasaskan konsep “AI fizikal”, iaitu gabungan perkakasan, data dunia sebenar dan perisian yang membolehkan sistem membuat keputusan autonomi dalam persekitaran operasi.
Kilang, pusat logistik dan operasi jualan akan berfungsi sebagai lokasi penggunaan serta “medan latihan berterusan” untuk robot.
Pelan hala tuju Hyundai dibina atas tiga tonggak utama. Pertama, pembangunan robot kolaboratif yang bekerja bersama manusia, khususnya bagi tugasan berulang, berisiko atau memerlukan tenaga fizikal tinggi di kilang.
Ketiga, kerjasama strategik dengan peneraju AI seperti Google DeepMind dan NVIDIA bagi mempercepat latihan, simulasi dan penggunaan robot.

Kedua, pengukuhan integrasi dengan Boston Dynamics, menggabungkan skala pembuatan Hyundai dengan kepakaran kejuruteraan robotik untuk membina rantaian nilai robotik menyeluruh.
Fokus utama strategi ini ialah robot humanoid Atlas keluaran Boston Dynamics, yang dibangunkan sebagai sistem industri serba guna. Atlas disasarkan mampu menyokong tugasan seperti penyusunan bahan, bantuan pemasangan dan pengendalian mesin dalam susun atur kilang sedia ada.
Pelaksanaan akan dibuat secara berperingkat, bermula dengan tugasan yang diuji rapi pada 2028, sebelum berkembang kepada operasi pemasangan lebih kompleks menjelang 2030.
Penempatan awal dijangka di fasiliti Hyundai sendiri, termasuk Hyundai Motor Group Metaplant America di Georgia.
Bagi menyokong penskalaan, Hyundai turut membangunkan Group Value Network yang menghubungkan robotik, komponen, logistik dan perisian.
Ini merangkumi konsep kilang berdefinisi perisian, pembukaan Robot Metaplant Application Center di AS pada 2026, serta penggunaan komponen piawai daripada syarikat gabungan seperti Hyundai Mobis.
Struktur ini disasarkan untuk memendekkan kitaran pembangunan, meningkatkan kebolehpercayaan dan membolehkan pengeluaran besar-baran ala industri automotif.
Selain itu, Hyundai bercadang memperluas robotik melalui model berasaskan perkhidmatan, termasuk kemas kini perisian berterusan, penyelenggaraan dan pemantauan jarak jauh.
Penggunaan sedia ada robot Spot dan Stretch Boston Dynamics dalam logistik dan pemeriksaan dijadikan rujukan untuk peluasan ke sektor tenaga, pembinaan dan pengurusan fasiliti.
Hyundai menegaskan strategi ini mencerminkan keyakinannya bahawa robot humanoid bakal muncul sebagai segmen utama automasi industri, dengan potensi aplikasi jangka panjang yang melangkaui sektor automotif.
- BACA: UMW TOYOTA CATAT SEJARAH – LEBIH 100,000 UNIT TERJUAL EMPAT TAHUN BERTURUT-TURUT
- BACA: 10 MPV PALING BEST 2026. RM 20K JE, BOLEH BELI TUNAI….
- BACA: CHERY MALAYSIA CATAT 30,073 UNIT JUALAN DALAM TEMPOH KURANG TIGA TAHUN
- BACA: PROJEK MEGA PERODUA DI KUANTAN -BAKAL JADI HAB AUTOMOTIF PANTAI TIMUR?







