
UMW TOYOTA CATAT SEJARAH – LEBIH 100,000 UNIT TERJUAL EMPAT TAHUN BERTURUT-TURUT
UMW Toyota Motor (UMWT) terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri automotif negara apabila mencatatkan prestasi jualan melebihi 100,000 unit bagi tahun keempat berturut-turut.
Angka tersebut juga merupakan satu pencapaian bersejarah yang belum pernah diraih oleh mana-mana jenama bukan nasional di Malaysia.
Menutup tahun 2025 dengan prestasi memberangsangkan, UMWT merekodkan jualan sebanyak 14,284 unit pada Disember, menjadikan jumlah keseluruhan jualan tahunan mencecah 102,417 unit.

Permintaan yang stabil merentas barisan model Toyota, daripada pembeli kali pertama hingga keluarga yang setia menggunakan kenderaan Toyota sejak beberapa generasi, membuktikan keupayaan jenama itu memenuhi keperluan pengguna bukan sahaja ketika pembelian, malah sepanjang tempoh pemilikan kenderaan.
Menurut Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K, kejayaan tersebut merupakan satu pengiktirafan terhadap kepercayaan rakyat Malaysia terhadap Toyota.
Seiring momentum 2025, UMWT akan terus memperluaskan rangkaian pengedar, memperkukuh tahap perkhidmatan selepas jualan serta memperkenalkan inisiatif baharu bagi memenuhi jangkaan pelanggan yang semakin berkembang.

Dalam usaha memperkukuh keyakinan pemilikan jangka panjang, UMWT turut memperkenalkan pelan Toyota Extend bermula 1 Disember 2025.
Inisiatif ini membolehkan pelanggan yang layak melanjutkan jaminan sedia ada lima tahun sehingga tambahan tiga tahun, menjadikan perlindungan sehingga lapan tahun bergantung kepada kelayakan kenderaan dan pakej dipilih.
Pelan jaminan lanjutan ini ditawarkan untuk beberapa model terpilih termasuk Vios, Corolla Cross, Yaris dan Corolla, dengan pilihan perlindungan asas dan premium.
Semua tuntutan boleh dibuat di pusat servis Toyota yang sah di seluruh negara, selain jaminan tersebut boleh dipindahkan kepada pemilik seterusnya, sekali gus membantu mengekalkan nilai kenderaan.
Maklumat lanjut mengenai produk dan perkhidmatan Toyota boleh didapati di laman web rasmi www.toyota.com.my.
- BACA: CHERY MALAYSIA CATAT 30,073 UNIT JUALAN DALAM TEMPOH KURANG TIGA TAHUN
- BACA: PROJEK MEGA PERODUA DI KUANTAN -BAKAL JADI HAB AUTOMOTIF PANTAI TIMUR?
- BACA: INSENTIF CUKAI EV TAMAT, TESLA KEKAL HARGA MODEL 3 DAN MODEL Y – BERMULA RM169K
- BACA: VERGE TS PRO DIUMUMKAN – DENGAN BATERI SOLID STATE, JARAK GERAK 600KM








