Artikel Pilihan

CHINA BINA LOJI SOLAR, TAPI GUNA GARAM CAIR

China sekali lagi mencuri perhatian dunia menerusi pembangunan sebuah projek tenaga boleh diperbaharui berskala gergasi di Hami, Xinjiang yang menggabungkan loji tenaga solar dengan teknologi penyimpanan haba menggunakan garam cair (molten salt thermal storage).

Teknologi ini membolehkan loji tersebut terus menjana elektrik walaupun selepas matahari terbenam, sekali gus mengatasi salah satu kelemahan terbesar sistem tenaga solar konvensional. Secara asasnya, panel solar hanya mampu menghasilkan elektrik ketika menerima cahaya matahari.

Apabila matahari terbenam atau cuaca mendung, pengeluaran tenaga akan berkurangan atau terhenti sepenuhnya. Justeru, penyimpanan tenaga menjadi elemen penting bagi memastikan bekalan elektrik kekal stabil sepanjang masa.

Di loji solar Hami, China menggunakan pendekatan yang sedikit berbeza berbanding sistem penyimpanan tenaga berasaskan bateri lithium-ion. Sebaliknya, tenaga haba daripada cahaya matahari disimpan di dalam tangki berisi garam cair yang dipanaskan sehingga mencecah kira-kira 565 darjah Celsius.

Haba yang disimpan itu kemudiannya digunakan untuk menghasilkan wap yang memutarkan turbin bagi menjana elektrik apabila diperlukan, termasuk pada waktu malam. Proses tersebut bermula apabila ribuan cermin heliostat memfokuskan cahaya matahari ke sebuah menara penerima.

Haba yang terhasil memanaskan campuran garam khas sebelum ia disimpan di dalam tangki berpenebat. Apabila permintaan elektrik meningkat atau matahari sudah terbenam, garam panas tersebut dialirkan ke penukar haba bagi menghasilkan wap yang akan memutarkan turbin penjana elektrik seperti sebuah loji janakuasa konvensional.

Teknologi molten salt menawarkan beberapa kelebihan berbanding penyimpanan tenaga menggunakan bateri. Selain mampu menyimpan tenaga untuk tempoh yang lebih lama, ia juga lebih ekonomik bagi aplikasi berskala utiliti, mempunyai jangka hayat yang panjang dan tidak bergantung sepenuhnya kepada bahan mentah kritikal seperti lithium.

Sistem ini amat sesuai digunakan sebagai pelengkap kepada loji tenaga solar berskala besar bagi memastikan bekalan elektrik lebih konsisten sepanjang hari. Projek di Hami merupakan sebahagian daripada usaha besar China mempercepatkan peralihan kepada tenaga bersih.

China bukan sahaja giat membina ladang solar dan turbin angin berskala gigawatt, malah turut melabur dalam pelbagai teknologi penyimpanan tenaga termasuk bateri, hidro simpanan pam serta sistem garam cair bagi meningkatkan kestabilan grid elektrik nasional.

Pendekatan ini menunjukkan bahawa pembangunan tenaga boleh diperbaharui bukan lagi sekadar memasang lebih banyak panel solar. Sebaliknya, cabaran sebenar adalah bagaimana tenaga yang dijana dapat disimpan dan disalurkan apabila diperlukan.

Dengan teknologi seperti molten salt thermal storage, tenaga solar berpotensi menjadi sumber elektrik yang lebih stabil dan mampu membekalkan tenaga walaupun ketika matahari tidak lagi bersinar.

Google ads
Back to top button