Buletin

SPESIFIKASI ICAUR V25 EREV DIDEDAHKAN: 1.5L TURBO, 115kW, JARAK GERAK EV 145-150KM

Chery secara rasmi memperlihatkan model baharu iCaur V25 EREV menerusi pemfailan dokumen kepada Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) China, sekali gus mendedahkan spesifikasi utama SUV lasak itu sebelum pelancarannya.

Di pasaran China, model ini menggunakan nama iCar V25, namun bagi pasaran antarabangsa ia dijangka dipasarkan di bawah jenama iCaur bagi mengelakkan isu hak dagangan.

Model bersaiz sederhana ini bakal berada di atas beberapa model sedia ada dalam keluarga iCaur, menawarkan gabungan reka bentuk berkotak bersama teknologi sistem rangkaian kuasa Extended Range Electric Vehicle (EREV).

Dari segi dimensi, iCaur V25 berukuran 4,636mm panjang, 1,920mm lebar dan 1,855mm tinggi, dengan jarak roda 2,820mm.

Kabinnya menyediakan lima tempat duduk, manakala rekaan overhang depan dan belakang yang pendek membantu meningkatkan keupayaan meredah laluan tidak rata.

Spesifikasi ringkas iCaur V25 EREV

  • Enjin 1.5L turbo sebagai range extender
  • Kuasa enjin: 115kW (105 kW kuasa bersih)
  • Bateri LFP 33.679kWh
  • Jarak pemanduan EV: 145–150km (WLTC)
  • Penggunaan bahan api: 1.52–1.54L/100 km
  • Kelajuan maksimum: 180km/j

Salah satu kelebihan utama iCaur V25 ialah keupayaan menunda sehingga 1,800 kg apabila dilengkapi pakej towing.

Penambahan sistem ini meningkatkan berat kenderaan sedikit, selain mengubah sudut pelepasan belakang daripada 24 darjah kepada 15 darjah, sementara sudut pendekatan kekal pada 28 darjah.

Sistem brek pula menggunakan WBTL WCBS 2.0, dibangunkan oleh pembekal automotif China, Wuhu Bethel.

Dari segi penampilan, SUV ini menampilkan rekaan moden dengan gril hadapan tertutup, pintu belakang jenis bukaan sisi lengkap ruang simpanan luaran, selain pilihan rim 19 inci atau 21-inci.

Pelanggan turut diberikan pilihan untuk mengubah beberapa elemen luaran termasuk kedudukan logo serta konfigurasi sistem pengambilan udara aktif.

Lebih menarik, dokumen MIIT turut menunjukkan pilihan pemasangan modul LiDAR pada bahagian bumbung, sekali gus memberi petunjuk bahawa iCaur V25 bakal menawarkan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS).

SUV ini dijangka menggunakan platform pengkomputeran Horizon Journey 6 yang menawarkan kuasa pemprosesan sehingga 560 TOPS, sekali gus menyokong pelbagai fungsi pintar seperti parkir automatik, bantuan pemanduan lebuh raya dan pemanduan berbantu di kawasan bandar.

Google ads
Back to top button