Artikel Pilihan

TAYAR PUNCA LORI TERBAKAR? INI PUNCA SEBENAR KEBAKARAN LORI

Setiap kali berlaku kebakaran membabitkan lori atau treler di lebuh raya, ramai pembaca beranggapan yang puncanya berpunca daripada enjin lori. Tetapi dalam kebanyakan kes, api sebenarnya bermula di bahagian tayar sebelum merebak sehingga memusnahkan keseluruhan prime mover dan juga trailer.

Punca utama di sebalik keadaan itu ialah berat lori yang membawa muatan sehingga puluhan tan. Beban yang tinggi menyebabkan setiap komponen pada bahagian roda bekerja lebih keras, termasuk tayar, bearing dan sistem brek.

Semakin berat muatan yang dibawa, semakin tinggi haba yang dihasilkan ketika lori bergerak, terutama ketika mendaki, menuruni bukit atau melakukan brek secara berulang.

Menurut pakar keselamatan kenderaan, antara punca kebakaran yang paling biasa ialah sistem brek yang terlalu panas, bearing roda yang rosak atau tayar yang mengalami kegagalan akibat haba melampau. Apabila lori membawa muatan berat, sistem brek perlu bekerja lebih keras, terutama ketika menuruni bukit atau dalam perjalanan yang panjang.

Jika brek digunakan secara berterusan terutama ketika menuruni bukit, suhu cakera atau dram brek boleh meningkat dengan ketara sebelum haba tersebut dipindahkan ke bahagian hub dan tayar. Tayar yang dihasilkan daripada kompoun getah akan mudah terbakar apabila terdedah pada suhu tinggi dalam tempoh lama

Selain itu, bearing roda yang haus atau kekurangan gris turut boleh menghasilkan geseran yang tinggi sehingga menyebabkan suhu roda meningkat secara mendadak. Dalam keadaan tertentu, gris pada bearing boleh terbakar sebelum api mula merebak ke tayar.

Tayar yang kurang tekanan angin juga atau lori yang membawa muatan melebihi had juga akan lebih mudah menghasilkan haba kerana struktur getahnya melentur secara berlebihan ketika bergolek di atas permukaan jalan.

Secara asasnya ialah, apabila tekanan udara tayar berkurang, rintangan golek akan meningkat. Rintangan ini akan menghasilkan haba pada struktur tayar yang seterusnya akan memulakan kebakaran. Sebaik sahaja tayar mula terbakar, api boleh merebak dengan pantas kepada tayat lain yang bersebelahan.

Getah tayar bertindak sebagai bahan bakar, manakala kawasan sekitar roda mengandungi pelbagai komponen mudah terbakar seperti hos brek, hos angin, gris dan pendawaian elektrik. Dalam tempoh singkat, api akan menjilat bahagian casis sebelum merebak ke ruang enjin dan akhirnya memusnahkan keseluruhan prime mover.

Keadaan menjadi lebih serius sekiranya lori membawa muatan mudah terbakar seperti tayar, plastik, kertas, perabot atau barangan pembungkusan. Dalam situasi sedemikian, api boleh merebak dengan begitu pantas sehingga anggota bomba yang tiba di lokasi hanya mampu mengawal kebakaran daripada merebak ke kenderaan lain.

Walaupun puncanya mungkin hanya berpunca daripada sebuah tayar atau satu bearing yang rosak, kerugian yang ditanggung boleh menjadi sangat besar. Sebuah tayar lori mungkin berharga sekitar beberapa ribu ringgit, namun sebuah prime mover baharu pula boleh mencecah nilai ratusan ribu ringgit, belum termasuk kos treler dan muatan yang dibawa.

Atas sebab itu, syarikat logistik dan pemandu lori berpengalaman amat menitikberatkan pemeriksaan keadaan tayar, tekanan angin, bearing roda serta sistem brek sebelum memulakan perjalanan. Ada juga pemandu yang akan memeriksa suhu hub roda setiap kali berhenti berehat bagi mengesan lebih awal sekiranya terdapat roda yang menjadi terlalu panas berbanding roda lain.

Dalam teknologi moden, penggunaan alat seperti Tyre Preessure Monitoring System juga mampu mengesan sebarang anomali pada tekanan tayar. Sekiranya tekanan tayar terlalu rendah, pemandu boleh mengisi semula angin dengan lebih pantas, dan pada masa sama mengelakkan kemalangan daripada berlaku

Langkah pencegahan seperti memastikan tekanan angin sentiasa mengikut spesifikasi, mengelakkan muatan berlebihan, menyelenggara sistem brek secara berkala serta memeriksa keadaan bearing mampu mengurangkan risiko kebakaran. Dalam banyak keadaan, mengesan masalah lebih awal bukan sahaja dapat mengelakkan kerugian besar, malah berpotensi menyelamatkan nyawa pengguna jalan raya lain.

Google ads
Back to top button