Motosikal

HONDA ADV 160 2026 LANCAR DI INDONESIA – KINI DENGAN SKRIN TFT 5-INCI, 15.8HP

Astra Honda Motor (AHM) memperkenalkan Honda ADV 160 bahar yang menyaksikan skuter ADV bersesaran 160cc itu menerima naik taraf signifikan bagi tahun 2026.

Pertamanya, ADV 160 2026 ini dikemas kini dengan reka bentuk yang lebih gagah terutamanya panel sisi di bahagian depan yang bertujuan menawarkan perlindungan dari angin, habuk dan hujan yang lebih baik. Namun begitu, panel bahagian belakang serta reka bentuk lampu hadapan dan belakang masih lagi sama.

Bagaimanapun, naik taraf terbesar tertumpu pada ruangan panel meter yang kini dimuatkan dengan skrin TFT 5-inci berwarna dan menawarkan fungsi Honda RoadSync.

Peralihan dari skrin digital LCD kepada skrin TFT bermakna seluruh keluarga Honda ADV dari 160, 350 dan 750 kini hadir dengan ciri yang sama.

Dalam pada itu, bagi mengakses skrin TFT dan fungsi Honda RoadSync (termasuk navigasi, panggilan telefon dan muzik), ADV 160 baharu ini juga dilengkapi dengan butang Multi-Switch baharu yang diposisikan di sebelah kiri handlebar. Butang passing-light juga ditambah pada model baharu ini.

Antara perincian lain yang dikekalkan dari model terdahulu termasuk:

  • penghadang angin boleh laras
  • ABS
  • Honda Selectable Torque Control (HSTC)
  • Emergency Stop Signal (ESS)
  • Idling Stop System (ISS)
  • Honda Smart Key
  • ruang letak barang berkapasiti 30L

Menariknya, model 2026 ini turut dilengkapi dengan slot pengecas UBS Type-C yang diletakkan dalam glove-box di bahagian kiri.

Sementara itu, Honda ADV 160 ini masih lagi dikuasakan enjin satu silinder 160cc dengan eSP+ yang berupaya menjana 15.8hp pada 8,500rpm dan 14.7Nm pada 6,500rpm. Tangki bahan api juga kekal dengan kapasiti 8.1L sementara ketinggian tempat duduk berukuran 780mm.

Bagi pasaran Indonesia, Honda ADV 160 dengan RoadSync ini dijual pada harga IDR41.95juta (RM10.7k).

GALERI: HONDA ADV 160 2026

Google ads
Back to top button