
HONDA CITY V 2019. MASIH RELEVAN?
Penulis baru sahaja melayari laman web Honda Malaysia untuk mencari maklumat berkenaan Civic Type R. Namun terbabas ke ruangan promosi. Menarik juga promosi Honda City V sekarang dengan diskaun RM 8000. Dah macam 10% bayaran muka. Tambah lagi RM 8000 bermakna anda dah bayar 20% bayaran dan bank akan senang-senang saja meluluskan permohonan.
Tapi model baru City dengan enjin 1000cc Turbo yang serba baru akan dilancarkan tak lama lagi. Serba salah jugak kan. Disebabkan penulis sendiri yang menggunakan kereta ini sebagai kereta peribadi dengan perbatuan sehingga mencecah 140 ribu kilometer, maka penulis senaraikan kelebihan dan kelemahan City ini
Kelebihan Honda City V
1. Penjimatan Minyak
Pengunaan petrol yang sangat menjimatkan bagi sebuah sedan iaitu 17.54 km/liter (5.7 liter per 100 km) bergantung kepada cara pemanduan. Beberapa pemilik Honda City yang lain juga rakan penulis pernah mencatatkan penggunaan petrol melebihi 20 km/liter.
Dengan harga petrol yang amat murah pada masa kini iaitu RM 1.25 seliter, ternyata pengunaan City ini amat berbaloi dan pastinya membuatkan anda jarang mengunjungi stesen minyak. Walaupun menggunakan RON95, enjin L15A7 ini sangat tahan daripada masalah knocking walaupun disesah pada RPM tinggi
2. Ciri Keselamatan
Honda City bagi varian V dilengkapi dengan 6 beg udara berserta ABS (Anti-Lock Braking System), VSA (Vehicle Stability Assist), HSA (Hill Start Assist), ISOFIX di tempat duduk belakang dan mendapat pengiktirafan 5 bintang oleh ASEAN NCAP.
Bagi kenderaan yang bernilai di bawah RM 100 000, ia adalah memberi lebih nilai atau `value for money` bagi pemilik kenderaan ini. Ford Mustang pun cuma ada 2 bintang sahaja. Dalam kategori B, hanya Vios dan Yaris sahaja yang menawarkan Sistem Amaran Titik Buta

3. Ruangan Kargo yang Besar
Memiliki ruang simpanan sebanyak 536 liter, ternyata ia merupakan saiz bonet yang terbesar bagi kategori sedan segmen B. Bahkan saiz ini mampu mengatasi sesetengah model sedan segmen C seperti Honda Civic FC atau lebih dikenali sebagai Civic Ketam yang memiliki sekitar saiz bonet sekitar 519 liter sahaja.
Sekiranya masih tidak cukup, kerusi di bahagian penumpang belakang boleh dilipat dengan nisbah 60:40 dan sangat berguna bagi membawa muatan yang agak panjang seperti tangga mahupun basikal.
4. Praktikal
Ciri lain yang dimiliki seperti seperti `keyless entry`, kerusi dengan balutan kulit serta corong penghawa dingin di bahagian penumpang belakang menjadikan kenderaan ini amat praktikal terutamanya bagi yang telah berkeluarga serta memiliki anak kecil. Sistem pemanduan autocruise disediakan hanya untuk varian V bersama dengan paddle shift
Sistem audio versi awal menggunakan unit yang lebih kemas buatannya berbanding dengan versi facelift. Penulis suka melayan lagu yang berada dalam telefon pintar dengan menggunakan sambungan Bluetooth. Paling best 8 unit sistem pembesar suara mampu menghasilkan bunyi dengan kualiti Dolby Atmos. Syahdu beb.

5. Enjin yang berkuasa
Walaupun memiliki enjin 1.5 L i-VTEC L15A7 yang dipadan bersama transmisi Continuous Variable Timing (CVT) dengan 7 kelajuan maya, namun jentera ini mampu menghamburkan kuasa sebanyak 118 kuasa kuda dengan 145 Nm tork.
118 kuasa kuda nampak sedikit namun harus di ingat bahawa berat kenderaan ini hanyalah sekitar 1112 kilogram sahaja. Nisbah `kuasa enjin vs berat` yang tinggi ini mampu memberikan pecutan maksima sehingga 190 km/j tanpa sebarang masalah. Sebagai perbandingan Nissan Almari (101 kuasa kuda) dan Vios (105 kuasa kuda) sahaja
i-VTEC lagi power bhai
6. Pengendalian yang bagus
Daris aspek pengendalian, terdapat 2 perangai Honda City ini yang boleh dipuji dan dikecam. Semasa di selekoh, ia menawarkan tindakbalas stering yang boleh diagak, respon cesi yang cepat dan tidak menggelabah beruk jika brek kecemasan dilakukan. Jadi jangan hairan jika anda nampak City mencucuk anda di jalan berselekoh
City boleh menghasilkan pengendalian tersebut tanpa mengorbankan aspek keselesaan penumpang. Jauh lebih baik dari City GM2 yang terasa keras kejung. Namun dalam aspek keselasaan bounce dan rebounce yang dihasilkan oleh Persona lebih baik. Jika anda memandu laju di lebih raya, anda dapat rasakan kestabilan pada jalan lurus tidak berapa cemerlang.

Kelemahan Honda City
1. Panel Kawalan Penghawa Dingin Digital
Panel kawalan yang sangat sensitif. Jika tersentuh sikit (tak sengaja) dengan siku ataupun panel kawalan terkena wayar pengecas telefon bimbit sekalipun akan mengubah tetapan pada panel kawalan penghawa dingin.
Pemandu perlu mengalihkan pandangan dari pemanduan untuk melihat panel kawalan bagi mengubah tetapan suhu. Secara peribadi, panel kawalan yang bukan digital atau konvensional yang menggunakan tombol atau “knob” lebih praktikal. Kurang menggangu fokus pemanduan
2. Bumper Gap, CVT Jerk, Brek Cakera
Fenomena “Bumper gap” mulai kelihatan kurang dari setahun penggunaan.
Puncanya tak lain tak bukan adalah “workmanship” atau tahap kualiti yang kurang baik ketika proses pemasangan kenderaan. Sistem CVT City direka dengan tetapan agresif dan boleh bertindak dengan cemerlang dalam keadaan agresif.
Namun jika dipandu perlahan dengan mode ECO, maka ia akan terasa kurang lancar. Brek cakera depan tidaklah sebagus yang disangka. Ia mudah bengkok apabila beroperasi dalam suhu panas dan ekstrim.

3. Titik Buta pada bahagian depan
Titik buta atau blind spot yang agak besar di bahagian hadapan. Mungkin disebabkan juga kedudukan dashboard yang agak tinggi dan juga tiang A dibuat dengan sudut yang rendah aga ia nampak proportion dari luar
Bahkan ketika meletak kenderaan, adalah sangat sukar untuk melihat sebarang halangan di hadapan. Tambahan pula, ketiadaan sensor parkir di bampar hadapan memburukkan lagi keadaan.
4. Imej pada Cermin Pandang Belakang Terhad
Cermin belakang yang berbentuk tirus ini sangat berguna (dan cantik dari segi design) bagi meningkatkan aerodinamik. Namun imej yang dihasilkan sangat terhad serta ditambah dengan rekaan pada bonet belakang yang agak tinggi, maka semakin terhad imej yang dihasilkan pada cermin pandang belakang.
5. Paparan kamera undur kurang jelas
Paparan kamera undur yang terhasil adalah kurang jelas terutamanya ketika cuaca panas. Seolah olah kedudukan monitor dari sudut yang kurang sesuai dan menyukarkan pemandu untuk melihat paparan kamera undur. Masalah ini hanya wujud pada waktu panas terik sahaja.
Pada cuaca redup ataupun malam, paparan pada kamera undur sangat memuaskan. Jadi pada pendapat saya dalam keadaan terlampau terang, pixel yang dihasilkan menjadi kabur (over exposure)

Kesimpulan
Pada harga sekitar RM 90 000, penulis merasakan Honda City ini amat berbaloi untuk dimiliki bagi penggunaan jarak jauh mahupun di dalam bandar bagi kegunaan harian. Penulis lebih sukakan Mazda 2, namun ruang yang terhad pada bahagian belakang agak mengecewakan
Namun jika kurang yakin dengan jenama ini, adalah amat digalakkan untuk bakal pembeli membuat penilaian serta sesi pandu uji dengan beberapa jenama lain dari segmen yang sama seperti Toyota Vios, Mazda 2, dan juga Proton Persona.
Toyota Vios pula memeilikijarak antara roda yang lebih pendek (40mm) yang akan mengganggu keselesaan penumpang depan apabila kerusi bayi dipasang. Penumpang depan gagal mendapat sudut kerusi yang selesa. Proton Persona pula masih jauh ketinggalan dari aspek transmisi CVT walaupun pengendaliannya adalah bagus.