KES RASUAH AIRBUS. BEKAS CEO GARUDA DIPENJARA 8 TAHUN, DENDA RM7.6 JUTA
Mahkamah Indonesia semalam menjatuhkan hukuman penjara terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Garuda Indonesia atas kesalahan rasuah.
Tuduhan terhadapnya membabitkan pengubahan wang haram berkaitan perolehan pesawat dan enjin daripada syarikat Airbus serta Roll-Royce.
Peguam, Luhut Pangaribuan, berkata anak guamnya, Emirsyah Satar, dikenakan hukuman penjara lapan tahun dan denda sebanyak AS$2 juta (RM7.67 juta) oleh mahkamah rasuah republik itu.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (KPK) mendapati Satar, yang ketika itu berkhidmat sebagai CEO Garuda dari 2005 hingga 2014, terbabit dengan pembayaran daripada seorang ahli perniagaan menerusi pihak ketiga.
Bayaran itu adalah bagi menguruskan pemerolehan enjin jenis Rolls-Royce Trent 700 dan pesawat Airbus A320 serta A330 oleh Garuda. Selain berkaitan perolehan pesawat Airbus untuk PT Citilink Indonesia iaitu anak syarikat Garuda.
Pada 2017, Roll-Royce bersetuju untuk membayar pihak berkuasa lebih AS$800 juta (RM3.5 bilion) bagi menyelesaikan bayaran caj.
Ia berikutan siasatan oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) dan Pejabat Penipuan Berat (SFO) berkenaan dakwaan rasuah oleh beberapa pegawai di enam negara dalam skandal yang berlaku lebih sedekad.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Nasional (NACC) pula masih lagi menyiasat dakwaan berkenaan.
Februari lalu, Airbus setuju membayar saman AS$4 bilion (RM17.3 juta) selepas mencapai rundingan pengakuan dengan pendakwa raya di Britain, Perancis dan AS berhubung dakwaan rasuah dan penyelewengan yang berlangsung selama 15 tahun.
Satar sebelum ini pernah menafikan sebarang salah laku. Nasibnya bagaimanapun akan ditentukan minggu depan, sama ada mahu membuat rayuan terhadap hukuman atau sebaliknya. – Berita Harian