BuletinMotosikal

HONDA WINNER X 160cc!!!, PENCABAR YAMAHA Y15ZR 155 VVA?

Persaingan motosikal supermoped atau super kapcai nampaknya belum berkesudahan. Ketika Yamaha Exciter 155VVA selamat dilancarkan untuk pasaran Vietnam bulan lepas, seteru terdekatnya pasti tidak duduk diam sahaja.

Sebaik Yamaha melancarkan Exciter 155VVA terbaru di Vietnam, Honda menghantar isyarat awal dengan pengenalan model naiktaraf PCX, sebuah skuter maxi 150cc menjadi 160cc. Tetapi, ia untuk pasaran Thailand dan sudah pastinya dengan perkongsian teknologi dari Honda, sesuatu yang lebih menarik akan muncul bagi varian enjin naiktaraf PCX tadi.

Di Vietnam, media permotoran sudah mula melaporkan gosip akan kehadiran Winner X 160 (di Malaysia dikenali dengan Honda RS150R) dan secara logiknya, pertarungan antara dua jenama utama ini seringkali mendapat perhatian ramai.

Winner X 160 dikatakan akan mendapat enjin yang sama dengan unit PCX iaitu enjin empat lejang SOHC 157cc, 4 injap. Sebagai perbandingan, model PCX sebelum ini hanya dilengkapi dengan kepala selinder 2 injap.

Selain daripada peningkatan kuasa enjin, dikhabarkan juga Winner X akan datang dengan penggayaan yang baru. Ia membayangkan rekabentuk DNA daripada sportbike teraik 250cc Honda iaitu CBR250RR, khususnya rekaan lampu LED penuh hadapan.

Jika semua ini menjadi kenyataan, sekali lagi, Honda akan “memintas” kedudukan Yamaha dari segi spesifikasi. Malah pada standard hari ini pun, Honda WInner X 150 di Vietnam masih mendahului dengan kelengkapan penting seperti sistem brek anti kekunci ABS yang tiada pada model terbaharu Yamaha Exciter VVA 155.

Kita mungkin melihatnya sebagai sesuatu yang pelik namun di pasaran moped penting seperti Vietnam, pertarungan segmen ini tidak akan berakhir.

Sehingga penghujung tahun lepas, Honda sudah menjual hampir 400,000 unit Honda Winner (dan Winner X) dan ia merupakan pasaran yang sangat menguntungkan. Dan seperti yang kita ketahui, Yamaha melaburkan banyak modal dengan memperbaharui hampir 80% model 155VVA supaya kekal kompetitif.

Apapun, kita tunggu perkembangan selanjutnya, sementara itu, untuk negara kita, berdoalah Boon Siew bawa masuk Winner X dengan brek ABS!

Google ads
Back to top button