Artikel Pilihan

NIGHT VISION, TEKNOLOGI MELIHAT DALAM GELAP PADA KERETA

Kelemahan mata manusia berbanding dengan kucing sebagainya ialah kita tidak boleh melihat di dalam gelap. Kalau anda mengambil gambar kucing, anda akan perasan mata kucing akan bersinar dalam gelap kerana kewujudan satu tisu yang dinamakan Tapetum lucidum. Tisu ini bertindak sebagai pembalik cahaya dalam mata, di belakang retina bertindak membalikkan semula cahaya yang masuk dalam mata untuk membolehkan kucing melihat dalam gelap

Disebabkan kita tidak boleh melihat dalam gelap ataupun melatih kucing memandu kereta dalam gelap, maka untuk memudahkan kita memandu dalam gelap di negara yang memiliki cuaca buruk teknologi melihat dalam gelap atau night vision dibangunkan. Pada mulanya teknologi ini dibangunkan untuk kegunaan industri pertahanan dan juga penerbangan

Namun dengan perkembangan teknologi serta kos pembangunan yang semakin murah, pada tahun 2000 Cadillac Deville menjadi kereta pertama di dunia yang dilengkapi dengan ciri night vision. Ini diikuti oleh jenama lain seperti Mercedes, BMW, Honda dan juga Toyota.

Tapetum lucidum pada mata kucing

Bagi kegunaan industri automotif, sistem night vision biasanya menggunakan kamera therma (sistem pasif)untuk melihat dalam gelap atau objek yang tidak mampu dicapai oleh cahaya lampu kereta. Sesetengah pengeluar menggunakan gabungan kamera infra merah (sistem aktif), LIDAR (sensor menggarkan jarak dengan laser), GPS dan juga radar untuk melihat di dalam gelap

Imej yang diterima akan dihantar pada paparan LCD meter digital, head up display ataupun skrin khas dalam bentuk imej hitam putih. Sebarang pergerakan imej seperti manusia, haiwan dan juga kereta akan diterangkan dengan kotak kuning sebagai amaran tambahan kepada pemandu. Objek yang panas akan kelihatan cerah manakala objek yang sejuk akan nampak lebih gelap dalam skrin

Kami senaraikan di sini beberapa kereta yang dipasang dengan peranti night vision. Lepas ni, dah tak perlu pasang lampu putih pada kereta. Sakit mata pemandu lain

1. Audi A6 – barisan Audi memasang peranti night vision ini pada model kereta A6 dan ke atas dengan kaedah aktif menggunakan kamera infrared. Imej akan dihantar pada skrin dengan memberi fokus kepada pejalan kaki.

2. Volkswagen Touareg – sama seperti Audi, Volkswagen Touareg menggunakan kamera infrared di bahagian depan untuk melihat dalam gelap sehingga 130 kaki. Ia memberi fokus kepada pejalan kaki, penunggang basikal dan juga haiwan yang besar. Sistem akan diaktifkan pada halaju 50km/j ke atas

3. Mercedes Benz S Class – sistem ini menggunakan 2 lampu LED infra merah dan juga kamera infra merah bagi melihat dalam gelap. Sistem ini berupaya melihat sehingga 160 meter di depan dan objek akan ditandakan sebagai warna merah sebagai amaran.

4. BMW 7 Series – dibangunkan oleh syarikat Sweden iaitu Autoliv Electronics, sistem ini sangat canggih kerana ia mampu membezakan antara manusia dan juga binatang liar dalam gelap. Sistem ini akan menghantar amaran pada head up display dan mampu melihat sekitar 1000 kaki di depan kereta walaupun dalam hujan dan cuaca buruk

Jika anda rasa kereta di atas adalah mahal dan diluar kemampuan anda (dan penulis), usah risau kerana kalau anda rajin mencari di Luzida, Sheepo atau Amazon, anda akan jumpa banyak jenama seperti Lanmodo yang beroperasi dengan punca kuasa 12 volt yang boleh dipasang pada mana-mana kereta dari sekitar RM 500.

Ia tidak menggunakan kamera infra merah, tapi menggunakan kamera thermal untuk melihat dalam gelap serta tiada amaran yang dikelaurkan sekiranya ia melihat pejalan kaki, haiwan, penunggang basikal dan mungkin juga pontianak di tepi jalan.

Google ads
Back to top button