Buletin

HYUNDAI i20 ACTIVE DENGAN GAYA BAHARU

Pasaran crossover sememangnya merupakan ‘lubuk’ baharu yang menjadi idaman buat mana-mana pengeluar kenderaan di dunia. Pembinaannya tidaklah begitu sukar. Dapatkan hatchback yang bersesuaian, adjust sana sini siap sebuah crossover. Dan Hyundai Motor juga tidak terkecuali untuk menawarkan crossover kepada pembeli, Hyundai i20 Active nama diberi,

BACA : HYUNDAI I20 GENERASI BAHARU

BACA : FORD FIESTA ACTIVE – DARI HATCHBACK KE CROSSOVER

Hyundai I20 Active yang berasal daripada model hatchback kompak telah pun berada di pasaran semenjak tahun 2015. Namun kini ianya hadir ke pasaran sebagai model facelift setelah beberapa tahun berada di pasaran. Iyalah, model pun lawa juga. Apa salahnya tambah make up sana sini sikit kemudian jual semula sementara hayat hidup i20 ini masih ada.

Bagi memenuhi kehendak pelanggan, maka Hyundai i20 Active ini turut dilengkapi dengan Hyundai SmartSense sebagai ciri keselamatan meliputi Lane Departure Warning System (LDWS), Lane Keeping Assist (LKA), Forward Collision Avoidance Assist (FCA), Driver Attention Warning (DAW) dan juga High Beam Assist (HBA). Jikalau model ‘biasa’ i20 yang hanya dilengkapi dengan enjin Kappa 1.0 liter T-GDI, akan tetapi versi crossover ini pula bakal menggunakan enjin Kappa 1.4 liter yang mampu menghasilkan kuasa  74 kW/100 PS. Kira tak adalah lemau sangat rasa.

Dipadankan pula dengan kotak gear enam kelajuan manual, memang sedap jugalah untuk memandu laju dan lancar di lebuhraya. Manakala sistem Idle Stop and Go (ISG) yang tersedia itu, sedikit sebanyak membantu pengurangan pencemaran udara dan dapatlah juga menjimatkan sedikit penggunaan bahan bakar. Rasanya, sistem ISG ini dah menjadi semacam benda wajib kepada semua kenderaan baharu.

Ruang kabin i20 Active ini pula menampilkan tona warna gelap, baik fabrik tempat duduk mahupun plastik yang membaluti papan pemuka. Bila penggunaan warna gelap ruangan kabin ini, nampak macam elegan-lah sikit. Kenalah dengan jiwa muda sang pemandu. Dan dewasa ini juga, integrasi antara telefon pintar menggunakan sistem Android atau pun Apple CarPlay  dan juga sistem hiburan kenderaan juga dianggap sebagai benda wajib ada.Senang nak sambung terus daripada peranti canggih. Nak layan YouTube atau pun menggunakan Google Map pun mudah sahaja.

Antara perkara yang menjadi isu kepada pemiliik crossover adalah ruang kargo yang hanya mampu memuatkan saiz dua ekor anak panda sahaja. Iyalah, bila sesekali membeli-belah mengikuti orang rumah ke IKEA misalannya, tiba-tiba boleh pula dia minta nak beli katil bujang untuk anaknya yang baru sahaja berusia tiga bulan. Mujur juga tempat duduk belakang boleh dilipat dengan konfigurasi 60:40 bagi membolehkan lebih banyak muatan disumbat tanpa perlu orang rumah kita pulang dengan menaiki Grab. Masih tak cukup? Rail bumbung pun dah tersedia. Tinggal nak ikat atas bumbung sahaja jangan bagi jatuh perabot IKEA yang dibeli.tadi.

Tapi kan, sebenarnya kalau Alza buat crossover pun nampak macam menarik juga. Tinggi memang tinggi dah. Amacam?

Google ads

B K

Back to top button