Artikel Pilihan

LAMBORGHINI HURACAN SUPER TROFEO EVO 10TH EDITION – BETUL KE LIMITED EDITION NI?

Bagi peminat dan pengumpul model-model limited edition (dan berduit), selain dari mengumpul jentera-jentera rare dengan livery Movistar, ini ada satu lagi model super rare yang sejati. Mana taknya nama pun sikit punya panjang. Perkenalkan Lamborghini Huracan Super Trofeo Evo 10th Edition. Payah nak tulis model kereta dalam borang claim macam ni.

Ia dihasilkan sempena ulang tahun ke 10 perlumbaan antara benua khusus untuk model ini sahaja. Ia didedahkan buat pertama kali pada perlumbaan 24-jam Spa-Francorchamps. Ia merupakan sebuah model edisi terhad dengan warna khas perlumbaan siap dengan splitter depan, skirting sisi dan GT wing di belakang. Bukan itu sahaja ia turut mempunyai ruang kemasukan udara pada bahagian bumbung yang memanjang ke bahagian enjin.

Disebabkan ia memang sebuah model edisi terhad, bila membelinya anda juga akan turut dihadiahkan dengan plak isitimewa dan sijil keaslian yang ditandatangani oleh CEO Lamborghini, Stefano Domenicali selain tandatangan Chief Technical Officer, Maurizio Reggiani dan boss Lamborghini Motorsport, Giorgio Sanna.

Tak cukup isitimewa lagi? Untuk memastikan pemandu bertuah boleh memandu dengan bergaya sambil menyahut cabaran “Keke Challenge”, mereka akan dihadiahkan dengan sut perlumbaan tempahan khas yang dihasilkan oleh OMP. Eh, korang beli motor limited edition dapat apa?

BACA: LAMBORGHINI AVENTADOR SVJ ADALAH RAJA BARU NURBURGRING (+VIDEO)

Itu bahagian luaran, bahagian dalaman pula masih sama di mana Huracan Trofeo ini turut dibekalkan dengan enjin NA V10 5.2-liter yang mampu menghamburkan 621 hp kuasa dan digandingkan dnegan kotak gear enam-kelajuan sequential yang menyalurkan kuasa tersebut ke tayar belakang.

Tapi oleh kerana ini memang model khas untuk berlumba, ia dilengkapi dengan sistem suspensi hardcore gandingan penyerap-penyerap hentak Ohlins dan bar anti-oleng boleh laras. Huracan Super Trofeo ini juga turut mempunyai ruang keluar untuk menyelamatkan diri pada bahagian bumbung dan tempat duduk perlumbaan menepati spesifikasi FIA.

Bahagian lain yang menarik perhatian semestinya ialah roda stereng papan pemuka dengan kemasan Alcantara selain sport rim 18-inci yang dibalut pula dengan tayar-tayar Pirelli P-Zero DHD2.

Okey, berapa buah akan dihasilkan? 100? 200? Jauh kurang daripada itu. Hanya 10 unit sahaja akan dihasilkan dan Reggiani menyatakan yang Huracan Super Trofeo ini adalah ditujukan khusus untuk tradisi Lamborghini dan gabungan antara Squadra Corse dan R&D Department. Gabungan dua entiti yang menyempurnakan proses penciptaan produk ulung dan bakal menjadi asas kepada penghasilan kereta lumba di masa akan datang.

Google ads
Back to top button